KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Maybank Securities Pte Ltd dan BOB Capital Markets (BOBCAPS) Singapura telah memeterai satu perjanjian bagi memperkukuh tawaran produk di India kepada para pelanggan di ASEAN dan serata dunia.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Maybank Securities yang juga sebahagian daripada Maybank Investment Banking Group (Maybank IBG) berkata kerjasama itu turut membantu membuka lebih banyak peluang aliran masuk modal ASEAN serta global ke India.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank IBG Datuk Ami Moris berkata India merupakan bursa saham kelima terbesar dunia dengan jumlah permodalan pasaran melebihi US$3 trilion (US$1=RM4.45).
Sejak bermulanya pandemik, indeks penanda aras Nifty 50 telah meningkat 41 peratus selain mencatat prestasi konsisten memberangsangkan berbanding pasaran sedang pesat membangun lain, katanya.
“Pelaburan di India kekal cerah dan disokong pula oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh,” katanya.
Menurut Ami, Maybank IG sejak beberapa tahun lepas telah berjaya membangunkan portfolio kerjasama strategik yang penting di Asia Pasifik dan usaha bersama BOBCAPS kini menyenaraikan India sebagai sasaran utama terhadap tawaran produk yang menyeluruh.
Sementara itu, Pengarah Urusan Bersama BOBCAPS Sanjiv Saraff pula menyifatkan kerjasama itu menawarkan peluang kerjasama besar bagi syarikat-syarikat perbankan pelaburan di India untuk memanfaatkan rangkaian pelanggan global Maybank sedia ada bagi meningkatkan lagi jangkauannya.
Langkah itu juga membolehkan Maybank melonjakkan lagi liputan produknya agar merangkumi pelanggan institusi global dan pada masa sama membantu BOBCAPS mengembangkan jangkauannya di luar India, kata beliau.
Kerjasama itu turut melibatkan aspek penyelidikan, akses korporat dan program jelajah bagi meningkatkan minat terhadap produk-produk ekuiti India.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial