AM

RAKYAT M'SIA  BERKAHWIN DI SELATAN THAILAND DINASIHAT TIDAK LENGAHKAN PENDAFTARAN PERKAHWINAN

07/08/2022 06:45 PM

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid

PHUKET (THAILAND) 7 Ogos (Bernama) -- Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Muhammad Ridzuan Abu Yazid menasihati rakyat Malaysia yang berkahwin di Selatan Thailand supaya tidak melengahkan pendaftaran perkahwinan mereka apabila kembali ke tanah air.

Beliau berkata pendaftaran perlu dilakukan bagi mengelak berlaku masalah pada masa akan datang.

"Mereka yang ingin melangsungkan perkahwinan di Thailand perlu membuat perancangan supaya perkahwinan itu sah dari segi undang-undang," katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Mahabbah 2022 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke program itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail  yang juga Yang Dipertua MAIPs dan anakanda baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Muhammad Ridzuan turut menasihati orang ramai berwaspada dengan tawaran oleh sindiket pernikahan supaya tidak tertipu dan menyebabkan perkahwinan mereka tidak sah.

"Pasangan yang ingin berkahwin di sini perlulah mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam negeri masing-masing," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan