SUKAN

TRIO BOLING PADANG NEGARA TERPAKSA PUAS HATI PINGAT PERAK 

06/08/2022 03:35 AM

Daripada Elmi Rizal Elias

BIRMINGHAM, 5 Ogos (Bernama) -- Trio boling padang negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tumpas 9-17 kepada England pada aksi final acara triples wanita Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Victoria Park, Leamington Spa, di sini, hari ini.

Pada saingan itu, gandingan Nur Ain Nabilah Tarmizi, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dan Azlina Arshad memberi tentangan sengit di awal permainan sebelum terpaksa akur kepada pasukan tuan rumah, England, dibarisi Jamie Lea Winch, Natalie Chestney, Sian Honnor, dalam perlawanan berlangsung sehingga 17 end.

Pencapaian trio negara itu sekali gus menyaksikan skuad boling padang kebangsaan setakat ini meraih satu pingat perak dan satu gangsa.

Pada aksi penentuan tempat ketiga, New Zealand menewaskan Cook Islands ,26-7, sekali gus meraih pingat gangsa.

Ketika ditemui pemberita, Syafiqa berkata mereka sedikit terkilan kerana tidak dapat menghadiahkan pingat emas kepada negara, sedangkan sepanjang saingan di sini, masing-masing berada dalam prestasi terbaik.

“Kami sudah cuba sebaik mungkin...tetapi terpaksa berpuas hati dengan perak. Memang kecewa kerana kami pasukan (boling padang) pertama Malaysia layak ke final…kalau menang emas akan naikkan semangat rakan sepasukan yang masih berjuang di sini,” katanya.

Syafiqa, yang membuat penampilan pertama pada temasya Sukan Komanwel kali ini, berkata selepas ketinggalan 9-12, mereka kehilangan rentak permainan untuk mengejar mata pasukan lawan 

Sementara itu, Nur Ain Nabilah berkata ketika pasukan negara mendahului 9-8 selepas 12 end permainan, ia memberi keyakinan kepada mereka, namun selepas ketinggalan 9-12 menjadi titik perubahan kepada saingan akhir tersebut.

“Kita cuba kejar mata dengan pihak lawan tetapi gagal, malah corak permainan ‘attacking’ kita juga tidak menjadi,” katanya yang turut membuat penampilan sulung pada temasya Sukan Komanwel itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan