EKONOMI

PROJEK LCS: BNS BERI KERJASAMA PENUH KEPADA PIHAK BERKUASA

05/08/2022 08:02 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan semua langkah-langkah perlu bagi memastikan projek kapal tempur pesisir (LCS) siap, demi kepentingan pertahanan negara.

BNS dalam kenyataan berkata pihaknya mengalu-alukan laporan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) berhubung projek itu.

"Kami menghargai penemuan serta saranan yang diberikan oleh PAC dalam laporan mereka, dan kami menyokong sepenuhnya langkah pihak berkuasa yang mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam sebarang penyelewengan berkaitan pelaksanaan projek itu.

“Dalam tempoh semasa enam bulan mobilisasi, kami akan bekerja dengan gigih dalam libat urus dan berunding dengan pengeluar peralatan tulen (OEMs) dan vendor bagi memuktamadkan rancangan masa depan projek seperti yang dimahukan dan dikehendaki oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” menurut kenyataan itu.

Menurutnya BNS juga bekerjasama dengan Jawatankuasa Tadbir Urus Khas yang dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk memastikan TLDM menerima LCS.

BNS juga berkata pihaknya telah melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah program transformasi yang sedang dijalankan untuk mengukuhkan perniagaan dan operasi mereka, di samping merekrut bakat-bakat baharu dan menyelaras sumber sedia ada,

“Kami juga telah meningkatkan penggunaan pendigitalan, terutamanya dalam pengurusan projek untuk menghapuskan ketirisan, dan memastikan integriti dan ketelusan dalam melaksanakan mandat yang diberikan oleh Kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan