SUKAN

TIDAK PUTUS ASA, KUAT SEMANGAT KUNCI KEJAYAAN MOHAMAD SAIFUDDIN

05/08/2022 03:57 PM

JOHOR BAHRU, 5 Ogos (Bernama) -- Tidak pernah berputus asa dan kuat semangat merupakan kunci kejayaan atlet Mohamad Saifuddin Ishak yang meraih emas dalam acara lompat jauh T11/12, Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo, Indonesia baru-baru ini.

Bapanya Ishak Md Rejab, 71, ketika ditemui di kediamannya di Kampung Melayu Majidee di sini, turut menyifatkan anak bongsunya itu sebagai seorang yang cekal dan tidak takut menyahut cabaran.

Beliau berkata keluarga juga tidak pernah berhenti menyokong dan mendoakan kejayaan Mohamad Saifuddin yang juga dipanggil Boy. 

“Kalau dia berjaya, sudah tentu sebagai keluarga seronok dan bangga (dengan kejayaan dia), sebelum dia pergi ke Solo kami juga sempat buat doa selamat.

“Bagi saya, sebagai ibu bapa, apa yang mustahak adalah kita kena sentiasa beri galakan kepada anak-anak dalam apa sahaja impian yang dia mahukan, insya-Allah, dia berjaya,” kata Ishak, yang juga penjual burger.

Ishak berkata Mohamad Saifuddin yang buta mata kiri sejak dilahirkan, mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth dan Maktab Sultan Abu Bakar di sini, menunjukkan minat dalam bidang sukan sejak di bangku sekolah dan telah memenangi pelbagai kejohanan.

“Kalau ada latihan sukan, dia selalu pergi dan balik sendiri, itu usaha dia, latihan juga tidak pernah tinggal sebab dia kuat semangat.

“Semasa tamat tingkatan lima, saya juga beri dia dua pilihan sama ada pilih akademik atau sukan dan dia pilih sukan. Saya cakap kalau betul-betul minat sukan perlu usaha bersungguh-sungguh, kalau tidak susah nanti dan ternyata dia menyahut cabaran saya itu,” katanya.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata kejayaan anaknya itu bukan sahaja sangat membanggakan keluarga tetapi juga negara.

“Dia anak yang baik dan tidak pernah lupa ibu bapa. Saya menantikan kepulangan dia ke Johor pada 8 Ogos nanti untuk sambut kemenangan,” katanya.

Mohamad Saifuddin, 30, telah mewakili negara dalam pelbagai kejohanan dan pernah meraih emas dalam Sukan Para ASEAN Singapura 2015 serta gangsa dalam Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di Doha tahun yang sama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan