SUKAN

DUA BEREGU SKUASY WANITA NEGARA TEMPAH SLOT KE SUKU AKHIR

05/08/2022 07:26 AM

Daripada Elmi Rizal Elias

BIRMINGHAM, 4 Ogos (Bernama) -- Dua pasangan skuasy negara menempah slot ke suku akhir acara beregu wanita Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila menumpaskan lawan masing-masing di Pusat Skuasy dan Hoki Universiti Birmingham, di sini hari ini.

Pada aksi pusingan 16 terbaik itu hari ini, gandingan Aifa Azman dan Rachel Arnold menewaskan pasangan Pakistan Faiza Zafar-Amna Fayyaz 11-7, 11-6, manakala Chan Yi Wei-Noor Ainaa Amani Ampandi tidak berdepan masalah mengatasi cabaran wakil Kanada, Nicole Bunyan-Hollie Naughton 11-4, 11-3.

Menanti Aifa-Rachel di peringkat lapan terbaik itu ialah beregu India Joshana Chinappa-Dipika Pallikal Karthik, sementara Chan Yi Wei-Noor Ainaa Amani dijadual bertemu pasangan Australia Donna Lobban-Rachael Grinham, esok.

Sementara itu, Ong Sai Hung-Mohammad Syafiq Mohd Kamal, mengetepikan cabaran pasangan Barbados Simpson Shawn-Cummerbatch Khamal 11-3, 11-7 pada aksi pusingan 32, hari ini.

Pasangan negara itu akan berdepan beregu England Adrian Waller-Daryl Selby, manakala satu lagi wakil Malaysia Ng Eain Yow-Yuen Chee Wern yang mendapat ‘bye’ di pusingan 32, akan menentang pasangan adik beradik dari New Zealand Temwa-Lwamba Chileshe, di pusingan 16, esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan