Daripada Elmi Rizal Elias
BIRMINGHAM, 4 Ogos (Bernama) -- Cabaran peninju muda negara Muhammad Imdad Ahmad Shaharom pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 berakhir apabila tersingkir di peringkat suku akhir, hari ini.
Peninju negara berusia 20 tahun itu terpaksa akur kepada ketangkasan wakil dari Scotland, Matthew McHale apabila pengadil membuat keputusan menghentikan pertarungan dalam saingan kategori bantamweight 51-54 kilogram (kg) lelaki yang berlangsung di Pusat Pameran Nasional (NEC) di sini.
Atlet kelahiran Ipoh, Perak itu yang membuat penampilan sulung pada temasya Sukan Komanwel, cuba memberi tentangan pada pusingan pertama, namun tidak dapat menandingi wakil dari Scotland itu apabila ketinggalan 9-10 mata.
Di pusingan kedua, asakan demi asakan pihak lawan memaksa peninju negara lebih banyak bertahan, dan kiraan mata 20-17 berpihak kepada peninju Scotland tersebut.
Pada pusingan ketiga, Muhammad Imdad berusaha bangkit memberi tentangan, namun gagal sebelum pengadil menghentikan pertarungan ketika perlawanan tersebut berlangsung selama 2 minit 21 saat.
Ketika ditemui pemberita, Muhammad Imdad mengakui sejak dari awal pertarungan, beliau gagal mendapatkan rentak sekali gus memberikan kelebihan kepada pihak lawan membuat serangan dan tumbukan.
Beliau berkata penampilan kali pertama di temasya Sukan Komanwel ini memberinya pengalaman bagi menghadapi kejohanan akan datang, antaranya Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak dari 15 hingga 21 Ogos ini, serta mewakili Perak pada Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur, September depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial