SUKAN

Cebelle tekad tutup ruang pemotongan markah juri

04/08/2022 10:32 AM

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

UBON RATCHATHANI (Thailand), 4 Ogos (Bernama) -- Masih dibelenggu kecederaan buku lali selepas mewakili negara pada Sukan SEA Hanoi bukan penghalang buat atlet wushu negara, Mandy Cebelle Chen bangkit memberikan persembahan terbaik di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022.

Cebelle, 19, sebaliknya bertekad mahu merekodkan rutin sempurna dalam acara kegemaran Taijiquan dan Taijijian wanita dalam penampilan sulungnya di temasya itu.

“Sasaran saya adalah melakukan rutin dengan lancar dan menutup ruang pemotongan markah oleh juri apabila ia sampai ke pergerakan wajib.

"Kecederaan dialami setakat ini semakin pulih. Saya mahu betul-betul fokus bagi acara itu," katanya.

Mengulas lanjut, penuntut ijazah seni bina di Universiti Taylor itu berkata selain dua acara terbabit, beliau juga akan menyertai satu lagi acara Duilian wanita.

“Ini kali pertama saya menyertai acara itu bersama-sama Sydney Chin Sy Xuan dan Lee Jia Rong, jadi saya sangat teruja." katanya.

Acara Taijiquan wanita disertai Cebelle akan berlangsung hari ini sementara acara Taijijian wanita dan Duilian wanita, pada Sabtu.

Pada Sukan SEA Hanoi, atlet itu terpaksa berpuas hati melengkapkan kedudukan di tempat ketujuh (Taijiquan) dan kesembilan (Taijijian) temasya dwitahunan itu.

Cebelle meraih pingat emas dan perak pada Kejohanan Wushu Remaja Asia Ke-9 yang diadakan di Gumi, Korea Selatan pada 2017.

Beliau merangkul dua pingat emas dan satu perak pada Kejohanan Dunia Taijiquan 2018 di Burgas, Bulgaria.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan