KOTA BHARU, 18 Julai (Bernama) -- Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral yang baharu dijangka siap pada hujung 2025, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri Datuk Azami Mohd Nor.
Beliau berkata kerajaan negeri telah memulakan inisiatif untuk membina terminal bas bersepadu yang baharu bagi menggantikan terminal bas sementara di Lembah Sireh dengan mengeluarkan ‘Request For Proposal’ (RFP) bagi projek pembangunan Terminal Pengangkutan Bersepadu Kota Bharu Sentral pada hujung 2020.
"Ekoran pandemik COVID-19 proses RFP ini sedikit tergendala dan kerajaan negeri pada 1 Jun 2022 telah memilih satu syarikat yang disenaraikan dalam bursa saham kategori papan utama untuk melaksanakan pembangunan Kota Bharu Sentral di atas tanah seluas tujuh hektar yang merangkumi Stesen Bas Bersepadu, Bangunan Komersial dan pangsapuri.
"Terminal Stesen Bas Bersepadu yang baharu ini dijangka siap pada hujung 2025 manakala keseluruhan pembangunan yang lain akan siap dalam tempoh sembilan tahun," katanya ketika ditemui pemberita pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai masalah air di Kelantan, Azami berkata pihak Air Kelantan Sdn Bhd telah merancang pendekatan jangka panjang seperti peningkatan sumber air mentah, menaik taraf dan membina Loji Rawatan Air (LRA) baharu serta melaksanakan program penukaran paip uzur untuk mengurangkan kadar air tak terhasil (NRW).
"Pada masa ini, sumber air mentah untuk perkhidmatan bekalan air awam di Kelantan adalah melalui pengabstrakan air sungai (47 peratus), tapisan air sungai (29 peratus) dan air tanah (24 peratus). Perancangan telah dibuat untuk menakung air sungai melalui kaedah Takungan Air Pinggiran Air Sungai (TAPS) dan Takungan Empangan.
"Cadangan pembinaan TAPS dengan kapasiti 500 juta liter sehari (JLH) telah dirancang di Labok, Machang dan cadangan ini telah diangkat kepada kerajaan Persekutuan untuk kelulusan pelaksanaan dalam Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia ke-12," katanya.
Beliau berkata apabila projek TAPS ini siap pada 2027, jaminan air mentah di kawasan utara Lembangan Sungai Kelantan akan meningkat.
"Pengabstrakan air mentah melalui takungan empangan pula akan direalisasikan bila siapnya Projek Pembinaan Empangan Nenggiri yang telah bermula pada tahun ini dan dirancang siap pada 2027," katanya.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan