AM

Melaka lancar projek perintis pengangkutan mesra alam

16/07/2022 02:55 PM

MELAKA, 16 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka hari ini melancarkan Pelan Induk Pelaksanaan Pengangkutan Hijau menerusi projek perintis pengangkutan mesra alam dan pintar yang dilaksanakan selama sebulan bermula hari ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman berkata pelan induk berkenaan melibatkan Pelan Pelaksanaan Rangkaian Bas Hijau dan Pelan Mobiliti Bersepadu Kawasan Warisan Melaka.

Katanya, menerusi pelaksanaan pelan induk berkenaan ia akan menjadi pemangkin untuk menggalakkan rakyat menggunakan sistem pengangkutan awam secara lebih meluas.

"Menerusi pembangunan pelan itu juga, sebanyak empat bas akan disediakan iaitu satu bas untuk kegunaan pelancong di sekitar kawasan Bandar Hilir manakala tiga bas akan digunakan sebagai bas henti-henti bagi laluan dari Melaka Sentral ke Ujong Pasir.

"Selain itu, skuter dan basikal elektrik juga akan ditempatkan di kawasan parkir Menara Taming Sari untuk kegunaan pengunjung, namun ia tidak boleh digunakan di jalan raya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelan Induk Pelaksanaan Pengangkutan Hijau ke Arah Melaka Mampan dan Pintar di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata menerusi pelan induk itu juga, dua aplikasi iaitu 'Just Naik' dan 'Tryke' dibangunkan dengan kerjasama syarikat swasta sebagai akses menaiki bas henti-henti dan bas pelancong serta basikal dan skuter elektrik.

Beliau berkata pelaksanaan kesemua inisiatif berkenaan akan dilanjutkan sekiranya projek perintis yang dijalankan itu mendapat sambutan daripada pengguna.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan