AM

Pernas perkenal program TV 'Francais 3i' papar kisah benar usahawan

06/07/2022 11:03 AM

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Perbadanan Nasional Malaysia (Pernas) akan tampil dengan program televisyen baharu dikenali sebagai ‘Francais 3i : Impian. Inspirasi. Inovasi’ yang memaparkan kisah serta pengalaman usahawan dalam industri francais, bermula malam ini.

Ketua Bahagian Strategi Korporat Pernas Mohd Iqbal Abdul Ghafar berkata program 13 episod itu akan ditayangkan pada setiap hari Rabu jam 8.30 malam eksklusif di saluran 502 Bernama TV dan merupakan rancangan julung kalinya terbitan agensi berkenaan yang berkisarkan kejayaan usahawan di bawah kelolaannya. 

“Dalam program Francais 3i ini, Pernas mahu mendedahkan kepada orang ramai bahawa francais bukannya terhad kepada makanan dan minuman (F&B) sahaja tetapi merangkumi perkhidmatan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain.

“Kami akan mengetengahkan semua usahawan daripada pelbagai sektor selain menyatakan peranan Pernas dalam membimbing mereka yang terlibat ini. Jadi apa usahawan tersebut minat bolehlah datang kepada kami dan kami bantu. Itu mandat kami sebagai peneraju francais negara,” katanya ketika ditemu bual dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini, semalam.

Jelas beliau, setiap episod akan memaparkan pelbagai peringkat pembangunan yang dicapai setiap usahawan selain perjalanan naratif, dugaan serta cabaran yang dihadapi dari peringkat bawah sehingga ke pencapaian sekarang. 

“Pernas tak kata bahawa setiap perniagaan itu mudah, pasti ada getir, cabaran dan liku-likunya tapi kami sebagai rakan perniagaan francais yang bersama dengan usahawan tersebut akan memastikan kami sama-sama melalui cabaran liku tersebut.

“Kami akan sentiasa memberikan perkhidmatan nasihat dan memberi jalan keluar sekiranya memang visi usahawan tersebut ingin maju dan mara ke depan malah sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Mohd Iqbal berkata program yang dihoskan oleh Fadzly Fuad selama 30 minit itu juga boleh disaksikan kemudiannya di saluran YouTube dan Facebook Pernas.

Antara usahawan francais dan prafrancais yang terlibat dalam program tersebut ialah Marrybrown, Gloria Jean’s Coffees, LaundryBar, Genius Aulad, Physiomobile, BubbleBee, Pasta Panas, Breena Beauty dan banyak lagi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan