AM

UniMAP, E-Idaman meterai MoU bangunkan sistem pengurusan sisa pepejal efisien

04/07/2022 06:50 PM

KANGAR,4 Julai (Bernama) --  Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan E-Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam usaha membantu kerajaan mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal yang kos efektif dan efisien.

Naib Canselor UniMAP Prof Ts Dr Zaliman Sauli mewakili universiti itu manakala E-Idaman diwakili ketua pegawai eksekutifnya Zaki Abdul Aziz Daud dalam majlis yang diadakan di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, UniMAP di sini.

Zaliman menerusi kenyataan berkata MoU berkenaan juga dimeterai bagi meningkatkan hubungan dalam latihan dan penyelidikan bersama industri serta membangunkan dan menggalakkan penyelidikan bersama,  selain penganjuran seminar, persidangan dan bengkel.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk kedua-dua organisasi membantu antara satu sama lain dalam mendapatkan pembiayaan daripada sumber luar, di samping menggalakkan sebarang aktiviti penyelidikan bersama yang dipersetujui,” katanya.

Beliau berkata MoU antara UniMAP dan E-Idaman sebelum ini, yang ditandatangani pada 2019, telah mewujudkan Makmal Penyelidikan UniMAP-E-Idaman serta penempatan Mesin Pencernaan Anaerobik (AD50) bagi memproses sisa makanan berkapasiti 50 kilogram sehari dan menghasilkan lima meter padu biogas untuk tujuan memasak dan biokompos.

“MoU yang ditandatangani hari ini akan diteruskan ke lima tahun akan datang sekali gus memberi peluang kepada kedua-dua pihak berkongsi kemudahan bagi tujuan pendidikan, penyelidikan serta menyumbang dalam berkongsi kepakaran teknikal untuk kempen kesedaran dalam pengurusan sisa bagi tempoh yang lebih panjang,” katanya.

Kenyataan tersebut menyebut penyelidik yang terlibat ialah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pasca Siswazah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) Prof Madya Ts Dr Irnis Azura Zakarya selaku ketua projek, Pengarah Pusat Pengurusan Tenaga dan Kampus Lestari (COSCEM) Prof Madya Ts Dr Siti Khadijah Zaa’ba dan Dr Tengku Nuraiti Tengku Izhar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan