KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- EVD Bhd, yang mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada Jumaat setelah mengambil alih status penyenaraian iDimension Consolidated Bhd (ICB), dibuka pada 26 sen sesaham, premium lima sen, berbanding dengan harga rujukan 21 sen.
Semasa pembukaan dagangan, kaunter itu menyaksikan 1.19 juta saham bertukar tangan.
Penyenaraian syarikat yang menjalankan aktiviti penyediaan penyelesaian sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk sistem pengangkutan itu merupakan hasil penyelesaian pelan penyusunan semula ICB.
Pengarah Eksekutif EVD, Gan Wee Peng berkata pihaknya merancang untuk meneroka pasaran serantau memandangkan wujudnya prospek peningkatan projek pengangkutan dan infrastruktur dii negara seperti Thailand dan Indonesia, selain projek sedia ada yang dilaksanakannya di Filipina.
“Kelebihan kami sebenarnya adalah dari segi menyediakan sistem ICT yang komprehensif terutama untuk sistem kereta api bandar dan infrastruktur lebuh raya.
“Kejayaan kami pula berasaskan pada pengalaman luas dalam industri, jadi kami mahu mencontohi proses di negara Asia Tenggara lain yang mempunyai sistem pengangkutan dan pelan infrastruktur yang sama,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyenaraian itu di Galeri Penyenaraian Bursa Malaysia di sini.
Beliau berkata pada masa ini, projek tempatan menyumbang 70 peratus kepada jumlah perolehan syarikat dan pihaknya telah mengambil bahagian secara aktif dalam projek Transit Aliran Massa (MRT) 1 dan MRT 2.
Melalui pelan penyusunan semula ICB, syarikat itu secara kolektif mengumpul hasil kasar keseluruhan berjumlah RM26.64 juta, yang akan digunakan untuk penyelesaian sebahagian pembayaran pembelian ke atas EVD Engineering Sdn Bhd, modal kerja dan perbelanjaan berhubung dengan pelan itu.
Susulan penyenaraiannya, EVD akan mempunyai permodalan pasaran diperbesarkan sebanyak RM99.3 juta dengan sejumlah 382 juta saham.
Mengenai prospek, Gan berkata kumpulan itu menjangkakan keuntungannya kekal positif bagi jangka masa panjang berasaskan industri penyelesaian sistem pengangkutan di Malaysia yang dijangka berkembang pada anggaran kadar pertumbuhan tahunan terkumpul 9.9 peratus, daripada RM1.71 bilion pada 2022 kepada RM2.15 bilion pada 2024.
“Melangkah maju, kami berhasrat untuk memanfaatkan beberapa peluang yang wujud daripada projek kereta api, sistem transit rel bandar dan lebuh raya akan datang di Malaysia, selain mengembangkan penyelesaian sistem pengangkutan kami untuk jenis infrastruktur berkaitan pengangkutan yang lain.
“Kerajaan telah mengumumkan rancangan pembinaan beberapa infrastruktur pengangkutan termasuk tiga lebuh raya baharu dan MRT 3 justeru, kami akan mengambil bahagian dalam projek-projek ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial