EKONOMI

MR DIY komited untuk terus tawar produk pada harga berpatutan

30/06/2022 10:19 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Peruncit perkakasan dan keperluan rumah, MR DIY Group (M) Bhd (MR DIY) komited terhadap slogan ‘Sentiasa Harga Rendah’ walaupun berdepan persekitaran peningkatan kos dan inflasi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Adrian Ong berkata langkah kumpulan untuk terus menawarkan produk-produk berharga berpatutan itu juga berteraskan data yang turut disifatkan sebagai amalan perniagaan berkesan serta membolehkan MR DIY menyerap kenaikan harga terbabit.

“Kemampuan untuk membeli dalam jumlah yang besar juga membantu kami dari segi kelebihan untuk membincangkan terma yang wajar dengan para pembekal dan memastikan harga kekal rendah.

“Manfaat itu sebaliknya kami salurkan kepada para pelanggan. Inilah formula kami iaitu berkongsi manfaat (pembelian dalam jumlah besar) dengan semua,” katanya dalam sidang media selepas pembukaan rasmi MR DIY Plus di pusat beli-belah Mid Valley Megamall di sini, hari ini.

Ong berkata gedung Mr DIY Plus itu juga telah menerima 200,000 pengunjung sejak pembukaannya pada 19 Mei, 2022.

MR DIY yang turut mencatat perkembangan pesat, telah menyasarkan untuk membuka sejumlah 180 kedai melibatkan semua jenamanya dengan MR DIY paling utama dan diikuti oleh Mr Toy dan Mr Dollar.

Bagaimanapun, Ong berkata, tiada sebarang perancangan untuk menambah MR DIY Plus bagi tahun ini.

Mengulas mengenai berlakunya lambakan premis, beliau berkata pengalaman kumpulan setakat ini terbukti positif dan akan terus berkembang mengikut permintaan yang diterima.

“Kami akan terus meneliti data sebelum membuat sebarang keputusan. Namun, saya gembira untuk menyatakan bahawa pengalaman (perniagaan) kami sejak akhir-akhir terbukti amat positif. Oleh itu, tiada alasan untuk menghalang pembukaan cawangan baharu pada masa ini yang terbukti amat menggalakkan,” katanya.

Menurutnya, kumpulan itu juga berpuas hati dengan prestasi premis fizikal yang lebih baik berbanding segmen e-dagang dari segi pertumbuhan dan perolehan hasil.

“Setakat ini, premis fizikal kami menjana hasil lebih ketara berbanding e-dagang yang menyumbang kurang satu peratus daripada keseluruhan hasil kumpulan.

“Namun, ia juga terbukti mencatat perkembangan baik dan apa yang penting bagi kami adalah mempunyai premis konvensional. Kami juga akan terus menggalakkan pembukaan lebih banyak premis (fizikal) bagi memberi nilai kepada para pelanggan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan