EKONOMI

Peralihan kepada ekonomi rendah karbon beri risiko, peluang baharu kepada institusi kewangan - Moody's

30/06/2022 04:23 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Peralihan kepada ekonomi rendah karbon memberi risiko dan peluang baharu kepada institusi kewangan susulan daripada perkembangan kawal selia, kemajuan teknologi dan perubahan pilihan pasaran, menurut Moody’s Investors Service.

Menurut firma itu, bank mungkin terjejas oleh risiko peralihan tersebut berikutan liabiliti yang meningkat terhadap lembaran imbangan mereka yang berisiko untuk susut nilai dari semasa ke semasa. 

“Bagaimanapun, keperluan berkaitan kepada pembiayaan untuk peralihan tersebut turut memberi peluang kepada bank untuk membangunkan tawaran baharu yang tertumpu kepada strategi dan pelaburan perniagaan rendah karbon,” katanya dalam laporan ESG Insights.

Katanya selain memahami pelepasan rakan niaga mereka sebagai asas untuk mengenal pasti risiko kewangan mereka, bank turut menghadapi tekanan yang meningkat untuk menilai dan mendedahkan pelepasan yang dibiayai mereka dengan tepat.

“Bank boleh memanfaatkan pelbagai metrik terbitan seperti keamatan karbon, yang boleh dinilai berdasarkan jumlah pelepasan operasi bagi setiap unit hasil yang dijana.

“Pendekatan ini menormalkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) untuk sektor pelepasan Skop 1-2 yang tinggi mengikut saiz dalam sektor,” katanya.

Moody’s menjelaskan bahawa bank terutamanya terdedah kepada risiko peralihan dan peluang yang berkaitan melalui portfolio mereka, yang bermakna terdapat kesukaran apabila ia melibatkan menilai risiko dan peluang peralihan mereka dan melaksanakan strategi untuk menanganinya.

“Terdapat tumpuan yang semakin meningkat terhadap perakaunan untuk pelepasan yang dibiayai bank secara tepat, yang memerlukan pemahaman yang komprehensif mengenai pelepasan syarikat portfolio serta maklumat terperinci mengenai pembiayaan.

“Pada masa sama, bank juga perlu memahami bagaimana syarikat yang mereka biayai mungkin menghadapi risiko berikutan peralihan tersebut, yang mungkin menjejaskan daya maju pinjaman mereka,” katanya.

Memanfaatkan data mengenai pelepasan GHG syarikat dan pengurusan risiko mereka memberikan langkah pertama yang penting apabila bank dapat membangunkan strategi pemberian pinjaman yang mengurangkan risiko mereka dan memperoleh peluang, serta mengambil langkah untuk menentukan pelepasan yang dibiayai mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan