DUNIA

Menteri Luar Australia Penny Wong berkongsi sedikit asal usul kelahirannya di Malaysia

29/06/2022 05:54 PM

Oleh V.Sankara

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Menteri Luar Australia Penny Wong yang berada dalam rangka  lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia pada Rabu berkongsi serba sedikit mengenai asal-usulnya di Malaysia, ketika menghadiri majlis makan tengah hari dengan wakil kerajaan, ahli perniagaan dan pemimpin masyarakat.

Wong dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah pada 1968 hasil perkahwinan antara ibunya kelahiran Australia dan bapanya rakyat Malaysia.

Apabila ibu bapanya berpisah, beliau berpindah ke Australia Selatan bersama ibu dan adik lelakinya ketika berusia lapan tahun.

Neneknya Lai Fung Shim, berketurunan Hakka, telah menjadi sumber inspirasi bagi dirinya, dan digambarkan sebagai orang yang paling cekal pernah Wong kenali.

Nenek dan keluarganya menetap di Sandakan ketika Perang Dunia II tercetus, di mana kebanyakan ahli keluarganya terkorban akibat perang, meninggalkan Poh-Poh (neneknya) sendirian menjaga anak-anaknya dalam keadaan sukar.

“Keazamannya untuk meneruskan hidup, dan menyelamatkan diri dan anak-anaknya, menjadi sumber kekuatan Wong.

“Dia hampir buta huruf. Dia seorang yang penyayang dan rendah hati, dan orang paling cekal pernah saya kenal. Dalam situasi sukar, saya akan sentiasa terkenangkan dirinya, segala kesusahan yang beliau terpaksa tanggung,” kata Wong menggambarkan neneknya dalam ucapan pada majlis itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi, ahli politik tempatan dan anggota kor diplomatik.

Sementara itu, mengulas mengenai bapanya Francis Wong, beliau berkata bapanya hidup dalam kemiskinan dalam usia awalnya.

Beliau menyifatkan bapanya sebagai seorang pelajar cemerlang dan berkat kerajinannya membawa biasiswa Rancangan Colombo bagi menyambung pelajaran dalam jurusan seni bina di Universiti Adelaide, Australia.

“Peluang untuk sambung belajar mengubah hidupnya. Ini bermakna dia boleh keluar daripada kancah kemiskinan sejak kecil,” katanya sambil menambah Francis Wong akhirnya berpindah semula ke Kota Kinabalu bersama keluarganya.

Wong ialah Menteri Luar Australia pertama kelahiran Asia. 

Sebelum tiba di Malaysia, Wong mengadakan kunjungan ke Vietnam.

Selepas pelantikannya sebagai menteri luar pada awal bulan ini, beliau ke Indonesia bersama Perdana Menteri Australia Anthony Albanese.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan