Oleh V.Sankara
KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Australia boleh bekerjasama untuk menangani cabaran bersama khasnya dalam dasar keselamatan makanan, kesihatan dan usaha pulih daripada pandemik COVID-19, kata Menteri Luar Australia Penny Wong.
Wong yang baru-baru ini mengangkat sumpah jawatan menteri, kini dalam rangka kerja lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, berkata agensi kawalselia farmaseutikal kedua-dua negara telah bekerjasama dalam hal vaksin COVID-19, dengan Australia berusaha memastikan vaksin itu sampai kepada mereka sukar dijangkau di Malaysia.
Wong yang merupakan anak kelahiran Sabah berkata, nilai perdagangan dua hala antara kedua-dua negara dalam sektor pertanian, perikanan dan perhutanan adalah lebih AUS$2 bilion (RM6 bilion) dan mempunyai potensi besar untuk dimajukan lagi.
“Kami membekalkan lebih 10 peratus produk tenusu Malaysia, lebih suku daripada jumlah daging import, dan 80 peratus bekalan gandum ke Malaysia.
“Ada banyak lagi yang boleh kita lakukan, dan saya lihat Australia dan Malaysia komited memulakan persediaan untuk menyemak kembali Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia,” kata beliau dalam ucapannya ketika majlis makan tengah hari dengan wakil kerajaan, ahli perniagaan dan pemimpin masyarakat di sini pada Rabu.
Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi, ahli politik tempatan dan anggota kor diplomatik.
Mengulas lanjut, Wong juga mencadangkan agar Malaysia dan Australia memodenkan hubungan perdagangan menerusi ekonomi digital dan menangani cabaran keselamatan siber.
Agensi perdagangan Australia, Austrade, sedang bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia untuk mempromosikan kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembinaan kapasiti dan pertukaran teknologi, katanya.
“Di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif, kami juga memperluaskan kerjasama dalam sektor keselamatan siber bagi menentang ancaman dan membuka peluang baharu,” tambahnya.
Minggu depan, pegawai dari sektor keselamatan di Malaysia akan berkumpul di Putrajaya bagi mengikuti Kem Siber Digital - program pembinaan kapasiti siber utama Australia dengan rakan kongsi serantau bagi meningkatkan daya tahan siber di rantau Asia Tenggara dan Pasifik.
“Ini adalah Bootcamp pertama kami di Malaysia dan ia akan membantu Malaysia membina kapasiti penuh dalam hal ehwal siber, merangkumi topik seperti infrastruktur kritikal, tadbir urus siber dan penerapan undang-undang antarabangsa dalam siber,” katanya.
Sebelum tiba di Malaysia, Wong mengadakan kunjungan ke Vietnam.
Selepas pelantikannya sebagai menteri luar pada awal bulan ini, beliau ke Indonesia bersama Perdana Menteri Australia Anthony Albanese.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial