JOHOR BAHRU, 28 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam serbuan di sebuah kilang di Kota Masai, Pasir Gudang, semalam.
Pengarahnya Mohd Hairul Anuar Bohro berkata serbuan kira-kira 11 pagi itu menyita 13.6 tan metrik minyak masak yang disyaki dicampur bersama minyak masak terpakai selain menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang merupakan pemilik syarikat itu bagi membantu siasatan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati premis terbabit dipercayai menjual minyak masak bersubsidi yang dicampurkan dengan minyak masak terpakai kepada syarikat proses biodiesel.
"Sindiket ini disyaki bergiat aktif sejak setahun lalu dan premis digunakan untuk aktiviti pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki dengan cara memotong plastik poli beg minyak masak dan mencampurkannya ke dalam tangki minyak masak terpakai bagi mendapatkan kuantiti yang banyak untuk jualan dan keuntungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua rampasan dianggar bernilai RM88,785 termasuk sejumlah peralatan lain yang digunakan untuk aktiviti penyelewengan terbabit iaitu 20 tangki petak, gunting berserta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial