BERITA TERGEMPAR   Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | 
 SUKAN

Cabaran Terbuka Malaysia tetap sengit - Wei Chong

27/06/2022 04:54 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak menganggap cabaran di Terbuka Malaysia, yang bermula esok menjadi lebih mudah walaupun beberapa pemain menarik diri daripada kejohanan tersebut.

Kedua-dua wakil Malaysia itu yang baru pulih daripada kecederaan menyifatkan tahap intensiti kejohanan itu akan tetap sama kerana hampir kesemua pemain mempunyai kebolehan untuk memberikan cabaran sengit di peringkat antarabangsa.

Beregu di ranking ke-38 dunia itu yang bakal membuka kempen menentang beregu nombor lapan dunia Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India pada pusingan pertama, bagaimanapun yakin untuk mempamerkan aksi meyakinkan.

“Kita pun tak fikir banyak sangat (mengenai pemain yang tarik diri) kita hanya fikir untuk memberikan aksi terbaik, sebab kita tahu semua lawan memang sudah kuat,” kata Wei Chong kepada pemberita selepas sesi latihan rasmi pasukan di Axiata Arena di sini hari ini.

Kai Wun pula teruja untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri, yang pastinya dapat menyemarakkan semangat pemain kebangsaan apabila kejohanan itu kembali diadakan selepas dua tahun dibatalkan akibat pandemik COVID-19.

Pasangan itu terpaksa menarik diri daripada saingan beregu lelaki Sukan SEA di Hanoi, Vietnam bulan lepas, apabila Wei Chong mengalami kecederaan lutut manakala Kai Wun berdepan kecederaan buku lali selepas membantu Malaysia meraih perak acara berpasukan lelaki.

Antara pasangan yang menarik diri daripada saingan kali ini adalah beregu nombor satu dunia Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon dan juara Asia Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan, kedua-duanya dari Indonesia.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky berkata barisan kejurulatihan bersama-sama pasukan perubatan dan fisioterapi akan terus memantau keadaan Wei Chong-Kai Wun pada dua kejohanan di Axiata Arena – Terbuka Malaysia dan Master Malaysia.

“Buat masa ini fisio membenarkan mereka bermain, tetapi kita akan memantau mereka dari segi pergerakan dalam gelanggang untuk menentukan sama ada menghantar mereka ke kejohanan akan datang seperti Terbuka Singapura dan Terbuka Taipei,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran bagi kategori beregu termasuk beregu lelaki, wanita dan campuran di Terbuka Malaysia, Rexy turut berpendapat bahawa saingan tidak menjadi mudah apabila beberapa pencabar menarik diri.

“Tak semestinya lebih mudah kerana kita akan tetap berlawan dengan pasangan dari India, Denmark, Jepun dan Korea Selatan. Ini bermakna cabaran masih sengit, jadi terpulang kepada pemain kita untuk berikan yang terbaik, berjuang hingga ke penghujungnya untuk dapat kejayaan.

“Setakat hari ini, beregu kita dalam keadaan baik, terutamanya selepas latihan bersama pasukan Taiwan, Poland dan Perancis, latihan seminggu cukup berkualiti. Jadi pemain-pemain kita semua dah bersedia untuk Terbuka Malaysia,” katanya.

 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan