PETALING JAYA, 24 Jun (Bernama) -- Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia, Kuala Lumpur (Rehda KL), Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) akan menganjurkan bersama Persidangan Antarabangsa ke-13 mengenai Bandar Raya Lestari Bertaraf Dunia (WCSC) 2022 pada 12 Sept 2022.
Acara ini disokong oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan tumpuan untuk meneroka dan mengambil tindakan proaktif dalam menjadikan bandar raya lebih berdaya tahan, mampan dan sesuai untuk didiami.
Pengerusi jawatankuasa penganjuran Chan Jin-Wy berkata tahun ini persidangan WCSC adalah tepat kerana ia berharap menyediakan platform yang membina dan terangkum bagi pengurus dan perancang bandar, arkitek, jurutera bandar, pemaju, kerajaan persekutuan dan tempatan serta pemegang taruh yang lain, termasuk orang awam, bagi memastikan bagaimana Kuala Lumpur dan bandar raya lain di Malaysia harus maju ke hadapan.
“Selain itu, Kuala Lumpur juga bersedia untuk memulakan hala tuju dasar perancangan yang penting melalui ‘Rancangan Bandaraya Kuala Lumpur 2040’ baharunya,” katanya kepada pemberita dalam taklimat bersempena acara itu di sini hari ini.
Oleh itu, beliau berkata persidangan itu bersedia untuk melibatkan semua pihak yang berkenaan tentang cara untuk bangkit semula daripada pandemik dan membina bandar yang lebih baik dengan perumahan mampu milik, kemudahan dan infrastruktur daripada regresi selain daripada mengetahui rancangan dan persediaan ke arah membina berdaya tahan dan bandar yang boleh didiami.
Beliau berkata persidangan itu akan menjemput pakar antarabangsa dan tempatan yang terkenal dengan harapan untuk mempelajari, mencontohi, menyesuaikan dan menerima pakai pendekatan yang sesuai dalam situasi tempatan.
Sementara itu, Presiden MIP Datin Noraida Saludin berkata sebagai sebahagian daripada acara itu, acara lain seperti bengkel Masterclass WSCS 2022 akan diadakan, bersama penceramah yang akan mengadakan sesi bersama DBKL untuk mengetahui cadangan terbaik bagi perancangan masa depan dalam mencapai pembangunan yang mampan, rendah karbon dan bandar raya yang berdaya tahan.
"Kita perlu memikirkan semula cara reka bentuk rumah, landskap, bangunan, infrastruktur dan sebagainya supaya berdaya tahan untuk menghadapi perubahan iklim pada setiap skala bukan sahaja di bandar," katanya.
Antara penceramah pada persidangan itu ialah Lord Mayor of Melbourne Sally Capp, Pengasas dan Pereka Utama Turenscape Kongjian Yu serta Pengarah Eksekutif (perancangan) DBKL Datuk Sulaiman Mohamed.
Acara lain termasuk Pertandingan Fotografi WSCS 2022 dan bengkel Makmal Golongan Muda 2022 untuk belia dan generasi muda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial