KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Syarikat makanan dan minuman (F&B) Malaysia merekodkan jumlah jualan US$2.31 juta (US$1=RM4.40) semasa Pameran Perdagangan ASEAN 2022 anjuran Pusat ASEAN-Korea baru-baru ini, yang diadakan sempena pameran Makanan dan Hotel Seoul 2022 di Seoul, Korea Selatan.
Lima syarikat Malaysia iaitu Abrand Food Manufacturing Sdn Bhd, Basefood Sdn Bhd, Ganda Kota Sdn Bhd, Jad Solutions Sdn Bhd dan Malex Paper Products Sdn Bhd mengambil bahagian dalam acara itu yang diadakan dari 7 hingga 10 Jun, 2022 dengan diselaraskan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
“Pelbagai jenis produk Malaysia dipromosikan pada acara itu, termasuk minuman kesihatan prebiotik, produk vegan, pemanis rendah atau sifar kalori, ketulan kelapa, daging vegan daripada nangka serta cawan dan bekas kertas,” menurut MATRADE dalam kenyataan pada Jumaat.
Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Seoul, Norharliza Mohd Yunos berkata acara itu merupakan platform terbaik untuk syarikat F&B Malaysia menembusi pasaran selain memanfaatkan kehadiran peserta pasaran F&B Korea berprofil dan berkualiti tinggi yang mencari peluang perniagaan baharu.
“Penyertaan kita dalam acara ini menunjukkan komitmen berterusan MATRADE untuk mengetengahkan kelebihan dan keupayaan sektor F&B Malaysia, menawarkan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berupaya dan sedia-eksport untuk mengembangkan kehadiran jenama mereka dan mewujudkan perkongsian perniagaan di Korea Selatan,” katanya.
Menurut MATRADE, menerusi acara itu, sembilan pembeli Korea berjaya diatur setakat ini untuk bertemu dengan rakan kongsi berpotensi dalam Program Penyumberan Antarabangsa sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2022 yang akan diadakan dari 7 hingga 10 Sept, 2022 di sini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial