EKONOMI

Malaysia perlu dasar baharu bagi tetapkan semula ekonomi - AmBank Research

16/06/2022 12:11 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Malaysia memerlukan dasar-dasar baharu yang dapat menetapkan semula ekonomi negara selain melindungi kesejahteraan rakyat, khususnya golongan isi rumah dan perniagaan yang mudah terjejas, kata AmBank Research.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, cabang penyelidikan AmBank Group itu berkata negara memerlukan dasar yang menggalakkan perniagaan dan mengembalikan keyakinan pelabur dan rakyat terhadap institusi kerajaan.

“Kerajaan perlu mewujudkan aspek kemakmuran dalam sistem ekonomi negara.

“Kita sendiri berada di persimpangan dan masa adalah asasnya. Kita akan gagal jika tiada sebarang pembaharuan yang menyeluruh serta berani dilaksanakan,” katanya.

Kenyataan Ambank Research itu sebagai mengulas kedudukan Malaysia di tangga ke-32 Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2022 yang diumumkan pada Rabu.

Kedudukan Malaysia itu turun tujuh tangga daripada tempat ke-25 yang direkodkan pada 2021.

Thailand dan Indonesia juga merosot masing-masing di kedudukan ke-33 dan 44 daripada 28 dan 37 sebelum ini, berikutan kelembapan pembukaan semula ekonomi pasca-COVID-19 berbanding dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, Singapura mencecah ranking ketiga daripada kedudukan kelima, sekali gus di tangga teratas bagi rantau Asia Pasifik.

WCR 2022 menilai 63 ekonomi dengan 333 kriteria daya saing yang dipilih sebagai hasil penyelidikan komprehensif menggunakan kajian ekonomi; sumber antarabangsa, nasional dan serantau serta maklum balas daripada komuniti perniagaan, agensi kerajaan dan ahli akademik serta respons tinjauan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan