POLITIK

BN belum terima permohonan rasmi PBM untuk jadi Parti Komponen - Ahmad Zahid

11/06/2022 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) --  Barisan Nasional (BN) belum menerima permohonan rasmi daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang dilaporkan berhasrat menyertai gabungan politik itu.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Presiden UMNO, berkata gabungan politik itu sedia menerima mana-mana parti yang yakin dengan prinsipnya sama ada PBM atau pihak lain.

"Di dalam Perlembagaan BN, terdapat tiga kategori parti atau individu iaitu parti teras, parti gabungan atau Friends of BN dan ketiga adalah ahli. Maka ketiga-tiga ini memperlihatkan keterbukaan BN untuk menerima mereka yang yakin dengan prinsip BN.

"Setelah melontarkan perkara ini dalam Konvensyen BN pada 1 Jun lepas, ini memberikan gambaran kesediaan kita untuk menerima bukan hanya PBM tetapi parti lain sebesar dan sekecil mana pun dalam kategori parti atau individu BN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Aspirasi UMNO (WAU) 2.0 bertema 'Cabaran dan Masa Hadapan Orang Muda' di sini hari ini.

Ahmad Zahid juga berkata jika permohonan rasmi PBM diterima, beliau tidak akan membuat keputusan seorang diri sebaliknya akan membincangkan perkara itu bersama dengan pimpinan tertinggi BN.

Mengulas kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan golongan yang sentiasa mendesak supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera sebagai tamak dan gila kuasa, beliau berkata pemimpin PAS itu mungkin khuatir jumlah kerusi Parlimen dimenangi parti berkenaan jika PRU15 diadakan lebih rendah berbanding yang ada sekarang.        

Mengenai keputusan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori, Ahmad Zahid berkata cadangan itu telah dibincangkan oleh BN ketika menjadi kerajaan.

"Cadangan itu telah diteliti dan ini menjadi trend perundangan seluruh dunia dan tentunya kita tidak boleh memutuskan perkara ini sebelum dibahaskan di Parlimen tetapi saya yakin kedua-dua pihak iaitu pembangkang dan kerajaan mempunyai banyak persamaan dalam mempersetujui perkara itu (pemansuhan hukuman mati mandatori),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan