EKONOMI

Indeks Harga Pengeluar pengeluaran tempatan meningkat 9.7 peratus pada Feb 2022 - DOSM

29/03/2022 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia bagi pengeluaran meningkat 9.7 peratus pada Februari 2022 didorong oleh harga komoditi utama yang lebih tinggi, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan dalam IHPR pengeluaran tempatan itu dipacu oleh indeks perlombongan yang meningkat 23.3 peratus berbanding 34.3 peratus yang dicatatkan pada Januari 2022.

“Ia turut dipacu oleh indeks pertanian, perhutanan dan perikanan yang mencatatkan peningkatan lebih tinggi pada 17.7 peratus berbanding 12.5 peratus pada Januari 2022.

“Ini didorong terutama oleh indeks bagi penanaman tanaman kekal (23.3 peratus), perikanan (9.4 peratus) dan pengeluaran ternakan (4.8 peratus),” katanya dalam kenyataan bagi mengulas IHPR Pengeluaran Tempatan Malaysia Februari 2022 yang dikeluarkan pada Selasa.

IHPR pengeluaran tempatan digunakan untuk mengukur kos barangan di pintu kilang.

Beliau berkata pada masa yang sama, indeks pembuatan meningkat 7.9 peratus daripada 7.0 peratus yang direkodkan pada Januari 2022.

Indeks ini disokong oleh kenaikan dalam indeks subsektor pembuatan produk petroleum bertapis (20.3 peratus), pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (18.6 peratus) serta pembuatan kimia asas, baja dan sebatian nitrogen, plastik dan getah sintetik dalam bentuk primer (13.1 peratus), katanya.

Beliau berkata indeks bekalan air serta bekalan elektrik dan gas masing-masing meningkat 1.4 peratus dan 0.8 peratus.

Mohd Uzir berkata perbandingan bulan ke bulan pula menyaksikan IHPR pengeluaran tempatan meningkat 2.0 peratus pada Februari 2022 berbanding 1.3 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Kenaikan ini disumbangkan oleh peningkatan 6.9 peratus dalam indeks pertanian, perhutanan dan perikanan (Januari 2022: 4.5 peratus), di mana ia dipacu oleh harga buah tandan segar kelapa sawit yang lebih tinggi, katanya.

Beliau berkata harga minyak mentah dan gas asli terus meningkat pada Februari 2022, menyumbang kepada kenaikan 3.6 peratus dalam indeks perlombongan.

Indeks pembuatan juga naik 1.3 peratus (Januari 2022: 0.8 peratus), disumbangkan oleh indeks subsektor pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (3.2 peratus), pembuatan produk petroleum bertapis (2.1 peratus) serta pembuatan komponen dan papan elektronik (0.5 peratus), katanya.

Beliau berkata indeks bekalan elektrik dan gas meningkat 0.2 peratus, manakala, indeks bekalan air turun 0.2 peratus.

Mohd Uzir berkata mengenai IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan pula, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 17.7 peratus pada Februari 2022, disumbangkan oleh indeks bahan bukan makanan dan bahan makanan serta makanan untuk binatang yang masing-masing meningkat 20.4 peratus dan 3.7 peratus.

Pada masa yang sama, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen kekal mencatatkan peningkatan dua digit 11.4 peratus pada Februari 2022 (Januari 2022: 10.8 peratus) didorong oleh kenaikan dalam indeks bahan api yang diproses dan pelincir (18.4 peratus) serta bahan dan komponen untuk pembuatan (11.8 peratus), katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, indeks barang siap turun 0.2 peratus disebabkan oleh penurunan dalam indeks kelengkapan modal (-1.8 peratus).

Mohd Uzir berkata melihat kepada perbandingan inflasi di peringkat pengeluar bagi beberapa negara lain, IHPR di United Kingdom meningkat 10.1 peratus pada Februari 2022, berbanding peningkatan 9.9 peratus yang dicatatkan pada Januari 2022.

Beliau berkata sementara itu, IHPR di Jepun mencatatkan peningkatan 9.3 peratus berbanding 8.9 peratus yang direkodkan pada Januari 2022 manakala IHPR di Amerika Syarikat meningkat 10.0 peratus.

Mengulas mengenai kesan perang antara Rusia dan Ukraine kepada harga komoditi utama dunia, beliau berkata gangguan kepada rantaian bekalan global terutama bagi komoditi utama dunia dijangka  bertambah teruk berikutan tekanan yang berlaku antara Rusia dan Ukraine.

“Harga bagi komoditi utama dan bahan mentah seperti minyak mentah, semikonduktor, baja dan gas asli dilihat akan terus meningkat memandangkan dua negara ini merupakan antara pengeluar utama terbesar bagi bahan mentah.

“Akibatnya, harga bagi produk-produk akhir juga akan meningkat menyebabkan pengguna terutama mereka yang berada dalam kumpulan isi rumah berpendapatan rendah merasai tekanan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan