KUALA LUMPUR, 24 Mac -- Pos Malaysia dan Saito University College (Saito UC) menandatangani Memorandum Persetujuan (MOA) di ibu pejabat Pos Malaysia hari ini bagi kerjasama pembangunan golongan profesional dalam bidang logistik, menerusi peluang pembelajaran berintegrasi.
Kolaborasi utama ialah penubuhan Hab Pembelajaran Saito UC - Pos Malaysia yang bermatlamat menyediakan bakal golongan profesional logistik menerusi pembelajaran secara praktikal dan berintegrasikan pekerjaan, serta pendedahan amali kepada perniagaan dan solusi logistik Pos Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Charles Brewer berkata masa depan bidang logistik di Malaysia dilihat cerah dan syarikat-syarikat sedang meneroka peluang pada peringkat domestik dan antarabangsa.
“Ia adalah era kegemilangan e-dagang dengan kebangkitan segmen-segmen perniagaan dan sasaran kami ialah mewujudkan satu hab akademik yang menjadi tempat untuk golongan profesional logistik memajukan diri menerusi bimbingan mentor, pembangunan kemahiran dan penghasilan idea-idea inovatif,” katanya.
Beliau berkata kerjasama itu akan turut menerapkan elemen industri ke dalam modul program Ijazah Sarjana Muda Perniagaan, Logistik dan MBA (Sarjana Pentadbiran Perniagaan) untuk pelajar Perniagaan dan Logistik Saito.
Menurut Brewer, peranan Pos Malaysia adalah menyediakan penyeliaan, bimbingan mentor, peluang latihan dan latihan industri, sekali gus melancarkan peralihan pelajar ke dunia pekerjaan.
Sementara itu, Naib Canselor Saito UC Profesor Dr Vinitha Guptan berkata kolaborasi tersebut melengkapkan para pelajar institusi itu dengan pengetahuan serta kemahiran berintegrasi pekerjaan dan praktikal.
Usaha sama itu juga memberi kesempatan kepada kakitangan Pos Malaysia untuk memperoleh kelayakan akademik sebagai sebahagian daripada pembangunan kerjaya mereka.
Brewer turut dilantik sebagai Saito UC Professor of Practice atas pengalaman dan pengetahuannya dalam industri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial