EKONOMI

XIN HWA TUBUHKAN PUSAT E-PEMENUHAN BERNILAI RM100 JUTA DI SHAH ALAM

16/03/2022 11:19 AM

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan logistik bersepadu domestik, Xin Hwa Holdings Bhd (Xin Hwa) telah menubuhkan pusat e-pemenuhan dengan kos kira-kira RM100 juta di Shah Alam.

Xin Hwa berkata pusat e-pemenuhan itu adalah bangunan yang dibina khas, direka khusus untuk memudahkan logistik e-dagang dan menyokong pasaran e-dagang yang berkembang pesat, yang memerlukan volum tinggi dan pakej bersaiz lebih kecil secara amnya.

“Kemudahan ini adalah sebahagian daripada strategi pengembangan kapasiti gudang Xin Hwa yang bertujuan untuk memanfaatkan peningkatan permintaan bagi ruang pergudangan akibat gangguan rantaian bekalan dan pertumbuhan aktiviti dagangan dalam talian.

“Lebih penting lagi, penubuhan ini akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia sambil menyediakan platform yang ideal untuk memudahkan pertumbuhan pesat e-dagang,” katanya dalam satu kenyataan.

Terletak secara strategik di Lebuhraya ELITE, pusat ini terdiri daripada pejabat tujuh tingkat dan gudang tiga tingkat dengan jumlah binaan 300,000 kaki persegi.

Xin Hwa berkata pelancaran pusat itu pada hari ini adalah tepat pada masanya untuk industri logistik Malaysia berikutan kekurangan ruang pergudangan yang lazim berpunca daripada peralihan pengguna kepada membeli-belah dalam talian, yang diburukkan lagi oleh gangguan rantaian bekalan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Arham Abdul Rahman berkata agensi itu akan terus memudahkan syarikat logistik Malaysia dalam usaha mereka menceburi perniagaan e-dagang, terutamanya melalui segmen e-pemenuhan.

“MIDA yakin libat urus berterusan antara sektor awam dan swasta akan mempercepatkan pembangunan ekosistem logistik dan e-dagang Malaysia.

“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan untuk meningkatkan kekayaan dan kemakmuran negara secara keseluruhan,” katanya.

Pengarah Urusan Xin Hwa, Ng Aik Chuan berkata syarikat itu menyasarkan untuk meneruskan pemulihan kukuh dalam industri logistik ketika negara berkembang ke arah fasa peralihan ke endemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa pada masa akan datang.

“Sehubungan itu, kami telah merancang untuk pelaburan selanjutnya bagi terus mengembangkan kapasiti logistik dan pergudangan kami dan berharap dapat bekerjasama dengan MIDA dalam merealisasikan perancangan ini,” katanya.

Xin Hwa menawarkan kedua-dua pilihan gudang khusus dan gudang bukan khusus melalui lapan gudangnya, yang mana lima daripadanya berada di Johor dan setiap satu di Klang, Shah Alam dan Kuantan.

Pada masa ini, syarikat itu mempunyai kapasiti penyimpanan yang mencukupi kira-kira 1.2 juta kaki persegi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan