KYIV/ MOSCOW, 4 Mac -- Rusia dan Ukraine dalam rundingan pusingan kedua di Belarus pada Khamis bersetuju mewujudkan koridor kemanusiaan untuk memindahkan orang awam, demikian disahkan oleh Penasihat Ketua Pejabat Presiden Ukraine Mykhailo Podoliak melalui Twitter.
"Penyelesaian hanya untuk mewujudkan koridor kemanusiaan," ciap Podoliak, lapor Xinhua.
Kedua-dua pihak membincangkan isu ketenteraan, kemanusiaan, dan penyelesaian politik masa depan ekoran konflik itu, kata pembantu presiden yang juga ketua delegasi Rusia Vladimir Medinsky.
"Pendirian telah dibuat dengan jelas... untuk sebahagian daripadanya, kami berjaya mencapai persefahaman," katanya sambil menyebut bahawa langkah mewujudkan koridor kemanusiaan adalah "kemajuan yang besar".
Agensi berita TASS Rusia awal Khamis melaporkan rundingan pusingan kedua telah berakhir.
Podoliak dalam taklimat media berkata pusingan ketiga rundingan damai mungkin berlaku tidak lama lagi, seperti dilaporkan media Ukraine.
Terdahulu hari itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, ketika mengulas mengenai rundingan damai, berkata bahawa "sebarang perbincangan" adalah munasabah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial