AM

MMA alu-alukan langkah kerajaan selesai isu doktor kontrak

13/02/2022 02:42 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb  -- Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengalu-alukan inisiatif kerajaan untuk menyelesaikan isu doktor kontrak.

“Ia adalah satu langkah baik oleh kerajaan untuk mewujudkan 4,186 jawatan tetap melibatkan pelantikan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi tahun ini dan meneruskannya dengan 1,500 jawatan tetap setahun bermula tahun hadapan hingga 2025,” kata Presiden MMA Dr Koh Kar Chai kepada Bernama.

Selain itu, beliau berkata pewujudan 800 jawatan tetap untuk pakar perubatan dan 70 pakar pergigian setiap tahun mulai 2023 sememangnya dialu-alukan.

“Kami harap dengan pewujudan jawatan tetap ditambah dengan peningkatan peluang untuk menjadi pakar, situasi (doktor kontrak dalam perkhidmatan awam) akan beransur reda sehingga sistem penjagaan kesihatan dapat menampung jumlah graduan perubatan yang ramai,” katanya.

Beliau berkata banyak institusi perubatan di dalam dan luar negara yang menghasilkan ramai graduan perubatan setiap tahun manakala sistem penjagaan kesihatan tempatan tidak bersedia untuk menyerap mereka adalah sebab utama mengapa Malaysia mempunyai bilangan doktor kontrak yang ramai.

Bagaimanapun, Dr Koh berkata Malaysia secara beransur-ansur mempunyai lebih ramai graduan perubatan yang penting untuk menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini mengumumkan 8,000 jawatan tetap untuk pengamal perubatan akan diwujudkan bermula 2022 hingga 2025 bagi menyelesaikan isu doktor kontrak.

Sementara itu,  bekas presiden MMA Dr N.G. Baskaran berkata pengumuman tersebut juga sekali gus akan menyelesaikan masalah kekurangan pakar perubatan dalam negara dan menyifatkan tawaran lantikan itu (jawatan tetap) sebagai penghormatan kepada doktor kontrak yang menjadi petugas barisan hadapan melawan COVID-19.

“Malaysia kurang pakar dalam pelbagai bidang. Bila doktor-doktor ini mendapat lantikan tetap, ia satu daripada cara menaikkan taraf perubatan (perkhidmatan) mereka menjadi pakar seterusnya boleh beri perkhidmatan lebih baik kepada negara.

“Sebelum ini, doktor kontrak memang boleh sambung belajar, tapi kena belajar sendiri, ambil peperiksaan di luar dan (guna) belanja sendiri… Sekarang bila dah jadi tetap, ada peluang untuk menjadi pakar dalam pelbagai bidang (pengajian ditanggung oleh kerajaan),” katanya.

Pegawai perubatan kontrak UD43 Dr Mohamad Faisal Mohammed Nasim pula berkata pengumuman KKM tersebut senada seperti yang disuarakan mereka sewaktu hartal doktor kontrak tahun lepas.

“Memang kami minta untuk lantikan tetap dan jalan untuk dapat hadiah latihan kepakaran (Hadiah Latihan Persekutuan) (HLP). Sekarang apa yang kami minta semasa hartal, adalah apa yang kerajaan ingin beri… Sekurang-kurangnya kami di landasan yang tepat,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Faisal menyeru rakan sejawat yang senasib dengannya untuk sabar menunggu dan terus berkhidmat kepada negara setelah semua yang dihadapi mereka kini mendapat perhatian KKM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan