EKONOMI

Ekonomi Malaysia pulih 3.6 peratus pada suku keempat 2021 dipacu permintaan luaran

11/02/2022 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb -- Ekonomi Malaysia pulih 3.6 peratus pada suku keempat 2021, dipacu oleh peningkatan permintaan luaran, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Malah, secara keseluruhannya prestasi ekonomi Malaysia pada 2021 telah menunjukkan momentum pemulihan dengan pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus berbanding penurunan 5.6 peratus pada 2020.

“Daripada kedudukan ekonomi semasa, prestasi ekonomi bagi 2021 masih di bawah paras pra-pandemik 2019. Bagaimanapun, prestasi ekonomi pada suku keempat 2021 telah melepasi paras suku keempat 2019 sebanyak 0.01 peratus,” katanya dalam kenyataan mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku keempat 2021 dan prestasi ekonomi Malaysia 2021 yang dikeluarkan hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi ekonomi dari segi penawaran bagi suku keempat 2021 dipacu terutamanya oleh sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian manakala permintaan menyaksikan semua komponen perbelanjaan mencatatkan prestasi positif kecuali pembentukan modal tetap kasar.

“Dari segi prestasi sektor pula, sektor pembuatan merupakan penyumbang utama apabila meningkat secara ketara sebanyak 9.1 peratus pada suku keempat 2021 (suku ketiga 2021: -0.8 peratus) yang didahului oleh produk elektrik, elektronik dan optikal (16.4 peratus) diikuti oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik (6.5 peratus).

“Bagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, keseluruhan sektor pembuatan meningkat 8.3 peratus (suku ketiga 2021: -1.8 peratus),” katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan, sektor perkhidmatan meningkat 3.2 peratus pada suku keempat 2021 (suku ketiga 2021 -4.9 peratus) manakala bagi pelarasan musim suku ke suku tahun, sektor terbabit pulih 7.0 peratus.

Prestasi itu dipengaruhi oleh subsektor perkhidmatan swasta yang merekodkan kenaikan 2.7 peratus (suku ketiga 2021: -6.8 peratus), disokong oleh subsektor maklumat dan komunikasi (6.8 peratus), pengangkutan dan penyimpanan (11.7 peratus) serta kewangan dan insurans (4.0 peratus).

Selain itu, perdagangan borong dan runcit pula mencatatkan pertumbuhan 1.3 peratus manakala subsektor hartanah, perkhidmatan perniagaan dan pendidikan swasta masih mengekalkan aliran penurunan.

Sektor pertanian meningkat 2.8 peratus (suku ketiga 2021: -1.9 peratus), disokong oleh pemulihan subsektor kelapa sawit (4.8 peratus) dan peningkatan dalam subsektor pertanian lain (5.4 peratus) selain mencatatkan peningkatan marginal 0.2 peratus bagi pelarasan musim.

Pada masa sama, sektor perlombongan dan pengkuarian merosot 0.9 peratus pada suku keempat tahun lepas (suku keetiga 2021: -3.6 peratus) dipengaruhi oleh subsektor minyak mentah dan kondensat yang susut 6.5 peratus (suku ketiga 2021: -8.0 peratus).

Mengulas aspek permintaan, Mohd Uzir berkata perbelanjaan penggunaan akhir swasta yang menyumbang 58 peratus kepada KDNK dalam suku keempat 2021, pulih 3.7 peratus (suku ketiga 2021: -4.2 peratus) yang dipengaruhi oleh peningkatan penggunaan dalam makanan dan minuman bukan alkohol (5.1 peratus), komunikasi (12.6 peratus) manakala  perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (2.0 peratus.

“Perbelanjaan restoran dan hotel (3.8 peratus) dan pengangkutan (2.0 peratus) juga meningkat pada suku tersebut. Bagi terma pelarasan musim suku ke suku tahun, prestasi keseluruhan perbelanjaan penggunaan akhir swasta mencatatkan peningkatan sebanyak 6.4 peratus,” katanya.

Selain itu, pembentukan modal tetap kasar (PMTK) atau pelaburan aset tetap susut sebanyak 3.3 peratus pada suku keempat 2021 (suku ketiga 2021: -10.8 peratus), dipengaruhi oleh peningkatan dua digit dalam jentera dan peralatan (16.4 peratus).

Bagi pelarasan musim suku ke suku tahun, PMTK mencatatkan kenaikan 10.9 peratus.

Perbelanjaan pengunaan akhir kerajaan mencatatkan pertumbuhan sederhana 4.3 peratus bagi tempoh suku keempat 2021 (suku ketiga 2021: 8.1 peratus), disokong oleh perbelanjaan ke atas bekalan dan perkhidmatan akibat perbelanjaan berkaitan kesihatan pada suku berkenaan.

“Peningkatan perbelanjaan dalam perkhidmatan kesihatan itu merupakan usaha kerajaan dalam melancarkan program suntikan dos penggalak COVID-19. Bagi pelarasan musim suku ke suku, perbelanjaan pengunaan akhir kerajaan berkurangan 6.0 peratus (suku ketiga 2021: 5.2 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata eksport dan import masing-masing melonjak kepada 13.3 peratus pada suku keempat 2021 (suku ketiga 2021: 5.1 peratus) dan 14.6 peratus (suku ketiga 2021: 11.7 peratus) berikutan peningkatan dagangan barangan dan perkhidmatan.

“Oleh itu, eksport bersih meningkat sebanyak 2.6 peratus berbanding penurunan 37.5 peratus pada suku sebelumnya didorong oleh lonjakan permintaan luaran,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan