AM

13 majikan degil didakwa atas pelbagai tuduhan - Perkeso Kelantan

11/02/2022 10:47 AM

KOTA BHARU, 11 Feb -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan mendakwa 13 majikan degil termasuk satu waran tangkap dikeluarkan atas pelbagai tuduhan sejak Januari tahun lepas sehingga 10 Feb.

Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata dalam tempoh tersebut, sejumlah RM17,600 denda dikenakan kerana kegagalan majikan mencarum untuk pekerja mereka.

"Antara kesalahan didakwa terhadap majikan seperti gagal membayar caruman, gagal mendaftarkan perusahaan dan gagal mendaftarkan pekerja.

"Perkeso mengambil tindakan tegas bagi memastikan majikan mematuhi peraturan melalui pemantauan atau mengadakan operasi secara berkala di semua sektor pekerjaan dalam usaha mengesan majikan culas dan belum mendaftarkan perusahaan serta pekerja," katanya kepada pemberita di pejabat Perkeso Negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nora berkata tindakan tegas itu dilakukan bagi memastikan semua pekerja mendapat hak perlindungan keselamatan sosial dengan sewajarnya dan majikan perlu mengambil kira akan hal kebajikan pekerja.

"Masih ramai majikan degil dan gagal mendaftarkan pekerja mereka di Perkeso dengan memberi pelbagai alasan, antaranya pekerja masih baharu, tidak tahu pekerja warga asing perlu didaftarkan, tidak arif berkaitan Perkeso dan menyangka perniagaan kecil tidak perlu mendaftar," katanya.

Dalam perkembangan sama, Nora berkata kes terbaharu ialah seorang majikan didenda sebanyak RM4,500 didakwa di Mahkamah Majistret Tanah Merah atas tiga pertuduhan termasuk gagal membayar tunggakan caruman pekerja berjumlah RM34,588.70 sejak 2013 hingga 2019.

"Menerusi siasatan, majikan itu memberitahu surat pengesahan pembayaran tidak diterima menyebabkan berlakunya tunggakan caruman pekerja selama enam tahun.

"Majikan itu didakwa di bawah Seksyen 6 (1) & (8) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Seksyen 14A Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Seksyen 4 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Seksyen 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Seksyen 110 (1) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan