AM

Lapan inisiatif NACP berjaya dilaksanakan

09/02/2022 06:51 PM

PUTRAJAYA, 9 Feb -- Lapan daripada 82 inisiatif yang digariskan dalam semakan separuh penggal Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 berjaya dilaksanakan sehingga peringkat output oleh agensi peneraju setakat 31 Dis 2021, kata Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan.

Beliau berkata 14 inisiatif daripada baki 74 inisiatif itu pula sedang dalam proses pelaksanaan di peringkat output dan dijangka selesai pada pertengahan tahun ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan GIACC hari ini, Mohd Sallehhuddin berkata kejayaan pelaksanaan itu merupakan hasil momentum positif yang ditunjukkan 27 agensi peneraju yang terlibat dalam pelaksanaan inisiatif terbabit.

“GIACC yakin dapat melaksanakan lebih banyak inisiatif NACP sepanjang tahun ini,” katanya yang mahu semua ketua agensi peneraju memberi fokus terhadap inisiatif mustahak untuk dilaksanakan seiring dengan dasar kerajaan ketika ini yang menjurus ke arah pemulihan sektor ekonomi serta sosial negara.

Antara ketua agensi peneraju terlibat melaksanakan inisiatif NACP adalah Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Audit Negara, Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya.

NACP 2019-2023 adalah pelan lima tahun kerajaan yang dilancarkan pada 29 Jan 2019 dengan menggariskan wawasan jangka panjang tindakan antirasuah ke arah negara bebas rasuah menerusi pelaksanaan 115 inisiatif.

Mohd Sallehhuddin berkata ketika ini semua inisiatif yang sedang dilaksanakan dipantau GIACC agar berada di landasan tepat memandangkan pelaksanaan kesemua inisiatif terbabit berakhir tahun depan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan