KINABATANGAN, 9 Feb -- Selepas dinobatkan sebagai perkampungan pelancongan terbaik dunia tahun lepas, Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh Kinabatangan (Kopel) Bhd terus memartabatkan usaha konservasi alam sekitar, yang menjadi tarikan utama pelancong ke kawasan itu.
Pengerusinya Abd Sanih Nasri berkata koperasi itu mengendalikan usaha inap desa melibatkan 17 rumah dengan aktiviti hiliran yang berasaskan kebudayaan dan konservasi alam sekitar selama lebih 20 tahun.
“Kami sangat beruntung kerana (kampung) kami dikelilingi oleh hutan simpan, alam semula jadi dan hidupan liar…itu adalah tarikan utama kedatangan pelancong, khususnya dari luar negara.
“Jadi, untuk mengekalkan kejayaan ini (anugerah perkampungan pelancongan terbaik), kami akan menambah lagi daya tarikan sedia ada dan konservasi iaitu pemuliharaan hutan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Kampung Batu Puteh, yang mengusahakan pelancongan secara berkomuniti di bawah Kopel, menerima anugerah itu oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) di Madrid, Sepanyol pada Disember tahun lepas, mengalahkan 44 perkampungan di seluruh dunia.
Abd Sanih mengakui pihaknya yakin dapat memenangi anugerah itu, yang pertama kali diperkenalkan oleh UNWTO, berdasarkan usaha konservasi alam sekitar, yang menjadi tujuan besar pelancong dalam dan luar negara melawat kampung itu sejak memulakan usaha pelancongan tersebut.
Menurutnya, selain merasai suasana tinggal di kampung, pelancong juga didedahkan dengan program pendidikan dan kesedaran alam sekitar, pelayaran Sungai Kinabatangan dan meredah hutan.
“Kami juga mengadakan latihan kepada pengusaha inap desa lain yang berminat menjalankan perusahaan ini berasaskan ekopelancongan,” tambahnya.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Dr Noor Zari Hamat yang mengadakan lawatan ke perkampungan itu memuji usaha bimbingan dan tunjuk ajar yang dijalankan oleh komuniti Kampung Batu Puteh kepada rakan pemain industri lain.
“MOTAC sentiasa menggalakkan usaha seumpama ini (bimbingan dan tunjuk ajar) supaya industri inap desa dapat bergerak sebagai satu entiti yang saling bantu-membantu antara satu sama lain bagi menghasilkan industri inap desa yang berstrategik dan berwawasan, dan turut menjayakan industri pelancongan negara,” katanya.
Noor Zari berkata kementerian itu akan sentiasa memberikan kerjasama dan bantuan dengan pengusaha inap desa di seluruh negara untuk menjalankan perusahaan mereka secara lebih sistematik dan tersusun.
“Antara kerjasama MOTAC laksanakan dengan pengusaha inap desa ialah seperti pembangunan modal insan, penggalakan program-program tertentu bagi kita sama-sama promosikan dan juga bantuan menaik taraf infrastruktur di kawasan tersebut,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial