EKONOMI

Indeks Volum Perkhidmatan meningkat 3.0 peratus pada suku keempat - Jabatan Perangkaan

09/02/2022 03:36 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb -- Indeks Volum Perkhidmatan bagi suku keempat (S4) 2021 meningkat sebanyak tiga peratus berbanding penurunan 7.5 peratus pada Suku Ketiga, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini berkata peningkatan pada Suku Keempat itu ditunjukkan pada peningkatan segmen maklumat & komunikasi dan Pengangkutan & Penyimpanan sebanyak 9.4 peratus dengan 138.1 mata daripada 126.3 mata pada suku tahun yang sama tahun lepas.

Beliau berkata pendorong terdiri daripada pengangkutan dan penyimpanan yang meningkat 12.3 peratus serta maklumat dan komunikasi  yang naik sebanyak 8.0 peratus.

"Begitu juga, segmen perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan meningkat 2.2 peratus pada Suku Keempat dan peningkatan ditunjukkan oleh penginapan sebanyak 46.6 peratus dan perdagangan borong & runcit pada 1.4 peratus.

"Sebaliknya kita melihat penurunan 0.5 peratus dalam segmen perkhidmatan lain dan segmen perniagaan dan kewangan susut sedikit sebanyak 0.1 peratus pada suku lepas,” kata Mohd Uzir.

Beliau berkata kesihatan swasta meningkat sebanyak 9.5 peratus tetapi telah diseimbangi oleh penurunan pada pendidikan swasta (-5.8 peratus) dan kesenian, hiburan & rekreasi dan perkhidmatan persendirian & lain-lain aktiviti (-4.3 peratus).

Walaupun kewangan & insurans meningkat 3.8 peratus, namun subsektor hartanah dan profesional dan pentadbiran & khidmat sokongan menguncup sebanyak 13.4 peratus dan 3.9 peratus pada Suku Keempat 2021.

Bagi perbandingan suku tahunan, Indeks Volum Perkhdimatan mendahului 12.0 peratus pada S4 2021, melantun kukuh daripada penguncupan 2.3 peratus pada Suku Ketiga.

"Indeks volum pada tahun 2021 meningkat sebanyak 1.6 peratus, berbanding penguncupan 8.0 peratus pada tahun lepas. Penyumbang utama ialah segmen maklumat & komunikasi dan pengangkutan & penyimpanan yang merekodkan pertumbuhan positif dengan 130.2 mata, peningkatan 5.0 peratus tahun-ke-tahun,” katanya.  

Beliau berkata, segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan merekodkan 123.0 mata, meningkat 2.7 peratus dan segmen perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan meningkat 0.4 peratus.

Sebaliknya, kesenian, hiburan & rekreasi, perkhidmatan persendirian & lain-lain aktiviti mengalami pengurangan sebanyak 9.4 peratus, menyeret turun keseluruhan indeks volum bagi segmen perkhidmatan lain yang mencatatkan 89.8 mata pada 2021.

Bagi perbandingan suku tahun-ke-suku tahun, segmen-segmen ini mencatatkan peningkatan sebanyak 2.3 peratus kepada 115.7 mata pada suku tahun itu, disokong oleh pertumbuhan 21.5 peratus dalam segmen perniagaan lain dengan 95.4 mata, diikuti dengan segmen maklumat & komunikasi dan pengangkutan & penyimpanan pada 7.8 peratus.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Mohd Uzir berkata hasil bagi sektor perkhidmatan pada Suku Keempat 2021 merekodkan RM460.0 bilion dengan pertumbuhan positif 5.3 peratus. 

"Peningkatan dalam sektor perkhidmatan itu dipacu oleh segmen perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan yang naik 5.1 peratus kepada RM370.1 bilion, diikuti segmen pengangkutan & penyimpanan dan maklumat & komunikasi dan segmen kesihatan swasta, pendidikan swasta dan kesenian, hiburan & rekreasi masing-masing meningkat 8.2 peratus dan 6.5 peratus kepada RM67.0 bilion dan RM14.3 bilion," katanya. 

Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, jumlah hasil pada Suku Keempat 2021 meningkat 17.7 peratus atau RM69.0 bilion didorong oleh subsektor perdagangan borong & runcit dan pengangkutan & penyimpanan, masing-masing meningkat 17.8 peratus dan 26.3 peratus.

Mohd Uzir berkata, hasil tahunan Sektor Perkhidmatan 2021 yang merekodkan RM1.7 trilion masih belum melepasi hasil tahun 2019 (RM1.8 trilion).

Bagaimanapun, subsektor maklumat dan komunikasi dan kesihatan swasta telah melepasi hasil pra-pandemik 2019 dengan masing-masing mencatatkan 10.5 peratus dan 6.0 peratus. 

Mengenai pendapatan e-dagang Malaysia, beliau berkata segmen itu merekodkan RM290.3 bilion, peningkatan 18.3 peratus tahun ke tahun pada Suku Keempat 2021.

Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pendapatan e-dagang meningkat 4.0 peratus didorong oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Seiring dengan pertumbuhan itu, prestasi keseluruhan pendapatan e-dagang pada tahun 2021 merekodkan RM1.1 trilion, meningkat 21.8 peratus berbanding 2020.

Mohd Uzir berkata, jumlah pekerja dalam sektor ini ialah 3.7 juta orang, naik sebanyak 52,077 orang atau 1.4 peratus tahun ke tahun disumbang oleh subsektor perdagangan borong & runcit dengan peningkatan sebanyak 50,575 orang atau 2.7 peratus, diikuti subsektor pengangkutan & penyimpanan, meningkat sebanyak 13,507 orang atau 4.2 peratus

"Jumlah pekerja juga naik 1.9 peratus suku tahun ke suku tahun atau meningkat 71,021 orang berbanding suku tahun sebelumnya,” katanya.

Mengenai gaji dan upah yang dibayar juga mencatatkan peningkatan sebanyak RM303.7 juta atau 1.2 peratus tahun ke tahun disumbang oleh subsektor perdagangan borong & runcit yang naik 3.6 peratus kepada RM13.3 bilion dan diikuti oleh pengangkutan & penyimpanan yang meningkar 2.3 peratus kepada RM2.6 bilion.

Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, gaji dan upah meningkat 3.8 peratus untuk mencatatkan RM25.0 bilion pada suku keempat 2021.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan