AM

PPS SK Saujana ditutup, penduduk Ladang Byram dibenarkan pulang ke rumah

09/02/2022 12:18 PM

NIBONG TEBAL, 9 Feb  -- Pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah yang menempatkan penduduk kawasan Ladang Byram berikutan kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini, Januari lepas, ditutup hari ini setelah penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Jawatankuasa Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dalam kenyataan hari ini berkata menurut cerapan terkini dan ulasan teknikal daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, kualiti udara di sekitar kawasan Ladang Byram telah bertambah baik dan kembali pulih.

"Selain itu, operasi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah SPS juga ditamatkan hari ini namun, pihak syarikat konsesi pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan meneruskan kerja-kerja penutupan fasa 1 dan 2 hingga selesai di bawah pemantauan secara berkala oleh JAS Pulau Pinang," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, kira-kira 400 penduduk daripada 90 keluarga yang tinggal berhampiran tapak pelupusan sampah yang terletak di Jalan Byram dipindahkan sementara ke lokasi yang selamat berikutan ruang udara kawasan kediaman mereka dipenuhi asap berbahaya.

Seramai 44 orang dari 10 keluarga dari Ladang Byram ditempatkan di PPS SK  Saujana Indah sejak 16 Jan lepas manakala baki penduduk yang lain berpindah sementara ke rumah ahli keluarga mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan