EKONOMI

YTL Power sasar raih RM2.2 bilion menerusi jualan kepentingan dalam ElectraNet

08/02/2022 08:36 PM

KUALA LUMPUR, 8 Feb  -- YTL Power International Bhd dan anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, YTL Power Investments Ltd merancang untuk melupuskan 33.5 peratus kepentingan ekuiti dan nota pinjaman dalam ElectraNet Pty Ltd pada nilai A$1.03 bilion (RM3.06 bilion) kepada Australian Utilities Pty Ltd (AUP) yang juga pemegang amanah Australian Utilities Trust.

Dalam kenyataan hari ini, YTL Power berkata apabila selesai kelak, usaha itu dijangka menjana kira-kira RM2.21 bilion.

Penjualan kepentingan tersebut menyumbang 16.8 peratus ke atas aset bersih proforma YTL Power sesaham dengan nilainya meningkat kepada kira-kira RM1.88 sesaham selepas selesai usaha melupuskan kepentingan daripada RM1.61 bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2021 yang menghasilkan pendapatan proforma sesaham sebanyak 26.02 sen.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Yeoh Seok Hong berkata urus niaga itu memberi peluang kepada kumpulan untuk meraih pulangan daripada satu pelaburan yang matang.

Pada masa sama, katanya, ini dapat mengoptimumkan baki aset dalam portfolio perniagaan kumpulan dan meningkatkan fleksibiliti untuk memanfaatkan rizab tunai bagi usaha baharu yang melengkapkan lagi perniagaan sedia ada.

Menurutnya, ini termasuk pelaburan baharu dalam tenaga solar dan berkaitan tenaga boleh baharu lain sejajar dengan peralihannya ke arah penyelesaian tenaga mampan.

“Tempoh bagi usaha penjualan kepentingan ini terbukti penting berikutan nilai menarik aset-aset utiliti serta kekukuhan minat pelabur.

“Pertimbangan jualan sebanyak A$1.026 bilion pula memaparkan nilai sebanyak 1.6 kali daripada asas aset dikawal selia dan kontrak syarikat itu,” katanya.

ElectraNet menguruskan sistem bekalan elektrik voltan tinggi di serata Australia Selatan yang juga antara sistem wilayah paling meluas di negara itu dan di bawah pajakan selama 200 tahun.

Usaha itu meliputi pembekalan tenaga daripada pihak penjana wilayah dan sumber antara negeri yang merangkumi jarak jauh ke kawasan metropolitan dan wilayah termasuk pelanggan industri besar dan secara langsung.

Pelaburan YTL Power sebanyak 33.5 peratus dalam ElectraNet pada 2000 juga merupakan usaha pertamanya di peringkat antarabangsa yang berasaskan kedudukan sebagai pengeluar tenaga bebas (IPP) pertama Malaysia dengan dua stesen jana kuasa miliknya di Paka, Terengganu dan Pasir Gudang, Johor.

Pada 2002, YTL Power memperluas portfolio utiliti di peringkat antarabangsa dengan mengambil alih Wessex Water Ltd, pengendali air dan pembetungan di United Kingdom dan seterusnya pada 2009 melibatkan pengambilalihan YTL PowerSeraya Pte Ltd yang mempunyai kapasiti penjanaan berlesen sebanyak 3,100 megawatt serta perniagaan pelbagai utiliti di Singapura.

Kumpulan itu juga mempunyai 60 peratus kepentingan dalam YTL Communications Sdn Bhd -- pengendali rangkaian YES serta merupakan syarikat telekomunikasi pertama melancarkan perkhidmatan 5G di Malaysia.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan