TANGKAK, 7 Feb -- Pihak syarikat dan industri diingatkan supaya terus mengamalkan langkah pencegahan penularan COVID-19 di tempat kerja sebagaimana yang disaran Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan sektor itu terus beroperasi ketika negara berdepan dengan gelombang COVID-19 varian Omicron.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata inisiatif Safe@Work perlu kekal dipraktikan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja terus terjamin sekali gus mengelakkan gangguan operasi syarikat dan mengurangkan impak terhadap produktiviti apabila terdapat kes positif COVID-19.
"Safe@Work (bertujuan) supaya diwujudkan 'gelembung' di tempat penginapan pekerja ke lokasi kilang, sekiranya ada kes baharu tiada keperluan untuk kita menutup keseluruhan kemudahan ini, sebaliknya pekerja akan diasingkan dan diberikan rawatan sewajarnya, ini dapat memastikan aktiviti perniagaan dapat diteruskan.
"Kita juga menggalakkan syarikat dan industri meneruskan usaha pemeriksaan membuat ujian secara berkala supaya pekerja yang hadir sihat, dilindungi dan tidak berlaku keadaan yang memaksa kita tutup operasi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kilang STMicroelectronics Sdn Bhd di sini hari ini.
Beliau berkata demikian semasa merujuk kepada strategi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menghadapi gelombang Omicron berikutan peningkatan kes COVID-19.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial