SUKAN

Hoki: LHM 2022 tanpa kelibat juara bertahan UniKL

07/02/2022 06:49 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb -- Liga Hoki Malaysia (LHM) musim ini dijangka hilang seri tanpa kelibat juara bertahan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), yang dikeluarkan daripada senarai pasukan bertanding pada kejohanan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata UniKL yang merupakan juara tiga kali berturut-turut bermula 2019, gagal menghantar borang pengesahan akhir bagi menyertai LHM 2022 yang dijadualkan dari 18 Feb hingga 31 Mac.

Berikutan itu, jawatankuasa berkenaan mencapai kata sepakat untuk menggantikan juara liga dan Piala Sumbangsih 2021 tersebut dengan Skuad Pembangunan KHM bagi saingan LHM kali ini.

Bagi aksi pembuka tirai LHM, iaitu perlawanan Piala Sumbangsih 2022 antara juara liga UniKL dan juara Piala TNB 2021 Terengganu Hockey Team (THT), yang sepatutnya berlangsung pada 18 Feb ini, Anil Jeet berkata perkara itu hanya boleh diputuskan menerusi perbincangan bersama semua pihak yang terlibat.

 “UnikL ingin menyertai LHM 2022 tetapi mereka masih gagal untuk menghantar borang pengesahan akhir. Walaupun tempoh lanjutan diberi sehingga hari ini, kami tidak menerima sebarang maklum balas.

“Pasukan pembangunan ini terdapat pemain kebangsaan yang akan beraksi. Seperti kami maklumkan sebelum ini, kami ingin melihat potensi pemain-pemain kebangsaan untuk mereka mendapat perlawanan dan bersedia menghadapi perlawanan antarabangsa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anil Jeet turut berharap setiap pasukan mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga diri dengan sebaiknya sepanjang kejohanan liga berlangsung agar tidak berlaku penularan jangkitan COVID-19. 

Selain Skuad Pembangunan KHM, enam lagi pasukan yang berentap dalam saingan lelaki adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, UiTM HA, Nurinsafi Sporting, Maybank Hockey Team dan THT.

Bagi kategori wanita, tiga pasukan baharu iaitu Negeri Sembilan Girls, Sarawak dan Skuad Pembangunan KHM (wanita) akan berentap bersama-sama Mutiara Impian-MSSPP-PSHA, Sabah dan KPT-Uniten Thunderbolts.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan