EKONOMI

Sapura Energy tamatkan kontrak dengan Yunneng Wind Power

04/02/2022 09:48 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb  -- Sapura Energy Bhd telah mengeluarkan notis penamatan kepada Yunneng Wind Power Co Ltd berkaitan kontrak untuk pengangkutan dan pemasangan ‘monopile’ di ladang angin luar pesisir Yunlin di Taiwan.

Penyedia perkhidmatan dan penyelesaian tenaga itu berkata anak syarikat milik penuhnya, Sapura Offshore Sdn Bhd (SOSB) telah dianugerahkan kontrak itu pada Mac 2019.

“Projek itu pada mulanya dijangka siap pada September 2020 tetapi ditangguhkan hingga September 2023 berikutan isu teknikal dan operasi yang tidak dapat diselesaikan, ia tidak dikaitkan dengan Sapura Energy. Perubahan ini telah mengubah asas kontrak dengan ketara,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Kerja-kerja berkenaan berada pada tahap 36.85 peratus siap pada tarikh penamatan kontrak tersebut.

Menurut Sapura Energy, Yunneng Wind Power telah melanggar perjanjian dengan membuat tuntutan yang ditangguh sementara waktu. 

Ia berkata Yunneng Wind Power telah menyediakan data mengenai tanah yang tidak tepat dan mengelirukan, ia merupakan pelanggaran serius kewajipannya di bawah kontrak untuk memberikan maklumat tanah yang dipercayai secara kontrak oleh SOSB.

"Asas kontrak telah berubah dengan ketara sejak penanugerahan kontrak itu sehingga SOSB secara munasabah tidak boleh terus terikat dengan kontrak tanpa sebarang penyesuaian atau pindaan kontrak," katanya.

Sementara itu, , Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Datuk Anuar Taib dalam satu kenyataan media dikeluarkan berkata rundingan dengan Yunneng Wind Power untuk meyelesaikan pelanggaran perjanjian itu bermula pada November tahun lepas.

"Memandangkan kami sudah menggunakan pelbagai cara untuk mencari penyelesaian yang baik, kami membuat satu keputusan yang sukar untuk menamatkan kontrak demi kepentingan terbaik kumpulan," katanya.

Berikutan notis penamatan itu, Sapura Energy akan meneruskan tuntutannya melalui proses penyelesaian pertikaian yang ditetapkan dalam kontrak iaitu timbang tara di bawah Institusi Timbang Tara Jerman di Bremen, Jerman.

Syarikat itu tidak menyatakan nilai kontrak tersebut dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan