EKONOMI

DBHD cadang tawaran saham persendirian untuk kumpul RM14.76 juta

31/01/2022 09:13 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan -- Damansara Holdings Bhd (DBHD) telah bercadang untuk melaksanakan tawaran saham persendirian saham bagi mengumpul modal kerja sebanyak RM14.76 juta.

DBHD yang sebelum ini dikenali sebagai Damansara Realty Bhd dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata cadangan tersebut membabitkan penerbitan sehingga 31.84 juta saham biasa baharu, mewakili sehingga 10 peratus daripada jumlah keseluruhan saham DBHD yang diterbitkan.

Saham-saham ini akan ditawarkan kepada pelabur pihak ketiga yang bebas pada harga terbitan, masing-masing akan ditentukan kemudian.

 Berdasarkan harga terbitan ilustrasi sebanyak RM0.473 setiap tawaran saham persendirian, langkah ini dijangka akan mengumpulkan hasil secara kasar berjumlah RM14.76 juta.

“Hasil itu akan dipakai untuk kos mobilisasi bagi projek baharu, perbelanjaan pentadbiran dan overhed, termasuk pembayaran balik kepada pemiutang perdagangan serta pembekal,” kata syarikat itu.

Berdasarkan tempoh kewangan tiga bulan yang belum diaudit yang berakhir pada 30 Sept 2021, perniagaan DBHD Group sedia ada mengalami kerugian operasi sebanyak RM3.62 juta manakala tunai dan baki bank berada pada RM24.22 juta.

Kerugian operasi itu berpunca daripada pertambahan kos operasi dan persaingan dalam mendapatkan projek-projek baharu.

"Tunai sedia ada kumpulan banyak terikat kepada projek yang sedang berjalan dan oleh itu tidak tersedia untuk digunakan bagi perbelanjaan operasi.

“Tawaran yang dicadangkan ini akan menyediakan dana yang diperlukan untuk melaksanakan projek-projek baharu selain memenuhi kewajipan operasi kumpulan," katanya.

Usaha ini dijangka mempunyai kesan positif ke atas pendapatan masa depan syarikat dengan menyediakannya pembiayaan yang diperlukan untuk mengekal dan mengembangkan perniagaan sedia ada.

Cadangan berkenaan dijangka selesai menjelang suku ketiga 2022 dan akan membolehkan kumpulan memanfaatkan pasaran ekuiti bagi mengumpul dana tanpa menanggung kos faedah tambahan yang terkait dengan pinjaman bank, oleh itu, meminimumkan sebarang aliran tunai keluar melalui kos pembayaran faedah serta memelihara aliran tunai kumpulan yang seterusnya akan meningkatkan nilai para pemegang saham.

Pada 28 Januari 2022, sebagai tarikh yang praktikal sebelum pengumuman itu, modal saham terbitan syarikat berada pada RM159.35 juta yang merangkumi 318.38 juta saham.

Perniagaan utama DBHD adalah hartanah dan pembangunan tanah serta pengurusan kemudahan bersepadu. Dilaporkan pada tahun lepas bahawa syarikat pelaburan milik negara Johor Corporation sedang berusaha untuk menswastakan ​​DBHD

Secara berasingan, DBHD juga memberitahu Bursa Malaysia mengenai tempoh kontrak Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Azhari Abdul Hamid akan berakhir hari ini dan beliau akan dilantik sebagai Pengarah Urusan HC Duraclean Sdn Bhd, anak syarikat DBHD.

Azhari memegang 291,854 saham biasa yang mewakili 14.59 peratus kepentingan dalam HC Duraclean.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan