ALOR SETAR, 31 Jan -- Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua rakyat khususnya di negeri Kedah.
Pengelola Bijaya Diraja Datuk Paduka Bakar Din memaklumkan baginda bertitah adat ziarah-menziarahi sanak saudara serta sahabat handai wajar diteruskan bagi mengeratkan silaturahim namun semua pihak perlu menitikberatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Hari perayaan adalah masa untuk kita meluangkan masa mengeratkan kembali hubungan silaturahim sesama keluarga dan rakan-rakan lama berjauhan...sekiranya tidak dapat berbuat demikian secara bersemuka, gunakanlah manfaat daripada kecanggihan teknologi komunikasi kini yang dapat memungkinkan perhubungan dilakukan secara jarak jauh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Bakar berkata baginda juga menasihati rakyat untuk tidak menyembunyikan maklumat sekiranya didapati positif COVID-19 ataupun menjadi kontak rapat kepada kes positif kerana perbuatan itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah sanak saudara dan sahabat sendiri.
“Baginda bertitah agar mereka yang turut mengambil kesempatan melakukan perjalanan sempena cuti perayaan ini agar berhati-hati di jalan raya dan patuhi semua peraturan jalan raya yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Kita tidak mahu ketibaan kita dinantikan dengan sendu tangis, tetapi kita mahu ketibaan kita di destinasi disambut dengan perasaan gembira dan selamat,” kata Bakar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial