PORT DICKSON, 30 Jan -- Bekalan telur ayam pelbagai gred di Negeri Sembilan masih mencukupi dan mudah diperoleh orang awam, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan.
Beliau berkata ia berdasarkan pemeriksaan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri selama dua hari bermula Jumaat lepas terhadap 29 premis termasuk pasar raya besar, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan pembekal telur di pasar awam.
"Kekerapan premis runcit mendapatkan bekalan telur ayam dari negeri ini dan Melaka adalah sekitar dua hingga tiga kali seminggu. Jumlah bekalan yang diterima pula bergantung kepada tempahan yang dilakukan premis tersebut.
“Jadi kita memang tidak menerima sebarang aduan berhubung gangguan bekalan telur ayam daripada pengguna setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan seperti menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum dan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Jelasnya, berdasarkan rekod sejak pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) bermula 1 hingga 29 Jan lepas, KPDNHEP Negeri Sembilan telah mengambil tindakan sebanyak 26 kes di bawah akta berkenaan.
"Ia melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM2,600 bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal di bawah skim ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial