SEREMBAN, 29 Jan -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) hari ini menganjurkan kursus Galakan Pelaburan dan Pemasaran Tanaman Durian kepada 250 usahawan tani baharu dan sedia ada bagi meningkatkan pembekalan tanaman bernilai tinggi di pasaran.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA Datuk Mohamad Mustahapa Awang berkata kursus menerusi Program Galakan Pelaburan dan Pemasaran Tanaman Bernilai Tinggi itu sekali gus mampu memberi pulangan pendapatan yang lebih baik kepada kumpulan sasar.
“Sepanjang kursus dua hari di Institut Latihan FAMA di Port Dickson, peserta akan didedahkan mengenai potensi dalam pembangunan tanaman durian khususnya bagi klon D197 atau Durian Musang King dan klon premium lain yang mempunyai nilai tinggi di pasaran seperti D200 atau Durian Duri Hitam, D24, D168 atau IOI.
“Peserta juga akan mempelajari kaedah pembangunan tanaman yang betul dalam memastikan pengeluaran hasil berkualiti bagi memenuhi pasaran eksport atau premium tempatan di samping teknik dan cara penjagaan serta pengurusan tanaman yang betul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Mustahapa berkata nilai eksport durian direkodkan melonjak sebanyak RM74.8 juta atau 107 peratus dalam tempoh lima tahun sejak 2016 yang mencatatkan jumlah RM69.9 juta manakala pada 2020 merekodkan nilai sebanyak RM144.7 juta.
Menurutnya hingga September lepas, durian Malaysia berjaya dieksport ke 22 negara dengan lima daripadanya mencatatkan eskport tertinggi iaitu Hong Kong, China, Singapura, Amerika Syarikat dan Australia.
Dalam pada itu, beliau berkata berikutan sambutan yang menggalakkan tahun ini, FAMA akan menganjurkan beberapa kursus Galakan Pelaburan dan Pemasaran Komoditi seperti cili, kelapa, rock melon dan nanas yang akan dihebahkan melalui laman sosial rasmi FAMA dari semasa ke semasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial