EKONOMI

Kerajaan pertimbang pemberian geran kepada PKS terjejas akibat banjir - Tengku Zafrul

20/01/2022 10:23 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan  -- Kementerian Kewangan sedang mempertimbangkan pemberian geran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda pada Disember lepas.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kementerian sedang menantikan senarai nama usahawan yang terlibat daripada SME Corp.

“Kita telah meminta senarai syarikat yang terkesan daripada SME Corp dan mereka sedang mengumpulkan senarai tersebut.

“Kita tahu usahawan PKS ini mahukan geran daripada kerajaan dan kita sedang meneliti jenis geran yang boleh disalurkan,” katanya ketika menggulung perbahasan mengenai bencana banjir pada Persidangan Khas Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata beliau akan membawa cadangan mengenai lanjutan tempoh pengecualian faedah dan moratorium pinjaman bank kepada bank di negara ini. 

Katanya ini kerana bantuan khas yang diumumkan kerajaan sebelum ini akan berakhir pada 31 Jan 2022. 

“Saya akan membangkitkan perkara ini dengan bank, khususnya untuk membantu mereka yang terkesan akibat banjir,” katanya.

Katanya beliau juga akan berbincang dengan semua pihak yang berkaitan untuk mengadakan pelan jangka panjang bagi membina semula infrastruktur perlu berbanding membayar kos kerosakan setiap kali banjir melanda negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan