KUALA LUMPUR, 19 Jan -- Isu-isu berkaitan memorandum persefahaman (MoU) berhubung Pengambilan dan Penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) akan dimuktamadkan dalam lawatan kerja Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan ke Jakarta, Indonesia, Isnin ini.
Saravanan dalam kenyataan hari ini berkata beliau dijadualkan bertemu rakan sejawatnya Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia Ida Fauziyah bagi memuktamadkan perkara itu supaya MoU tersebut dapat ditandatangani pada 7 dan 8 Feb ini di Bali, Indonesia.
“Ini juga selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Jan 2022 agar satu lawatan diadakan bagi menyelesaikan isu berbangkit berhubung pemeteraian MoU tersebut.
“Isu-isu utama berkaitan dengan MoU tersebut berhubung One Maid One House, One Channel System dan gaji PDI telah pun disepakati menerusi siri rundingan antara kedua pihak,” katanya.
Beliau berkata MoU terdahulu telah ditandatangani Menteri Sumber Manusia pada 2006 di Bali dan protokol bagi meminda MoU berkenaan telah ditandatangani di Bandung, Indonesia pada 2011.
Saravanan berkata pertemuan itu akan turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga dalam siri lawatan kerja ke Indonesia minggu depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial