AM

Halimah puas hati pematuhan SOP Thaipusam tahun ini

18/01/2022 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jan -- Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berpuas hati dengan tahap pematuhan orang ramai terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) Thaipusam yang ditetapkan kerajaan tahun ini.

Halimah juga memuji usaha pihak pengurusan kuil termasuk Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves  dan Pengerusinya Tan Sri R. Nadarajah serta sukarelawan kerana dapat mengawal keadaan di kawasan persekitaran kuil semasa sambutan.

"Walaupun dalam keadaan SOP yang ketat, pihak pengurusan kuil berjaya menjaga keselamatan kesihatan penganut beragama Hindu yang menunaikan nazar bersempena sambutan hari Thaipusam," katanya dalam ucapannya selepas meninjau suasana sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves di sini hari ini.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pasukan Polis Diraja Malaysia kerana dapat memastikan penganut beragama Hindu dapat melaksanakan ibadahnya dengan lancar. 

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata pihak Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves  bakal membina sebuah dewan untuk manfaat masyarakat India di kawasan itu dan pembinaannya akan dilaksanakan tahun ini. 

"Peranan saya dan Yang Berhormat (Halimah) adalah untuk mendapatkan dana yang secukupnya manakala bagi pengerusi kuil ini pula adalah mendapatkan kelulusan dengan kadar segera," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan