GEORGE TOWN, 15 Jan -- Seramai 1,300 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang sambutan Thaipusam di Pulau Pinang bagi memastikan pengunjung yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan tindakan kompaun akan dikenakan terhadap mereka yang ingkar.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata orang ramai terutama penganut agama Hindu yang hadir untuk sambutan Thaipusam dinasihatkan mematuhi SOP dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.
"Pihak polis akan ditempatkan di beberapa lokasi terutama dua kuil di Jalan Air Terjun yang menjadi lokasi penganut Hindu menyambut Thaipusam dan kami juga telah mengambil beberapa tindakan bagi memastikan pengunjung yang hadir mematuhi SOP ditetapkan.
"Selain pihak polis, pihak kuil juga akan menempatkan sukarelawan di kawasan rumah ibadat tersebut supaya mereka yang hadir akan mengikut arahan dan SOP, ini antara lain bagi memastikan tiada penularan wabak COVID-19 ketika sambutan," katanya pada sidang akhbar hari ini.
Katanya beberapa laluan utama di sekitar bandar raya ini akan ditutup secara berperingkat pada Isnin dan Rabu ini sempena Thaipusam, bagi perarakan pedati emas dan perak dengan hanya masing-masing diiringi 100 orang sahaja terdiri daripada jawatankuasa kuil yang telah diberikan pas khas bagi tujuan itu.
Soffian berkata perarakan bagi pedati emas bermula pukul 6 pagi pada Isnin dan akan bergerak dari Kuil Lebuh Queen manakala pedati perak pula pada pukul 7 pagi dari Lebuh Penang dengan kedua-duanya dijangka tiba di Kuil Air Terjun, melibatkan perjalanan sepanjang 6.5 kilometer (km) dalam tempoh lapan hingga sembilan jam.
"Kedua-dua pedati itu akan melalui Lebuh Chulia, Gat Lebuh Chulia, Lebuh Victoria, Gat Jalan Prangin, Jalan C.Y Choy, Jalan Magazine, Jalan Datuk Keramat, Jalan Utama dan Jalan Air Terjun. Sepanjang perjalanan dua pedati itu akan berhenti di lima dan tujuh kuil, bagi menjalankan upacara keagamaan.
"Seramai 70 pegawai dan anggota polis akan mengiringi dan mengawal perjalanan dua pedati itu bagi memastikan keselamatan serta pematuhan SOP, dan jalan-jalan akan dibuka semula kepada pengguna selepas kedua-dua pedati melaluinya, saya nasihatkan orang ramai mematuhi arahan pihak polis yang mengawal lalu lintas," katanya.
Beliau berkata pedati emas dan pedati perak itu akan berarak balik ke Lebuh Queen serta Lebuh Penang pada hari Rabu iaitu pada 6 petang serta 7 malam sejauh 8.7 km juga turut diiringi jawatankuasa kuil dan dikawal 70 pegawai dan anggota polis.
"Laluan balik bermula di Kuil Air Terjun melalui Jalan Air Terjun, Jalan Gottlieb, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Contament, Jalan Macalister, Jalan Anson, Jalan Burma, Jalan Tranfers, Jalan Sri Bahari, Lebuh Campbell dan Lebuh Chulia.
"Seterusnya melalui Jalan Lebuh Pit, Lebuh Bishop, Lebuh Penang, Lebuh King, Lebuh China, Lebuh Pantai, Lebuh Pasar, Lebuh Queen, dan Lebuh Penang.Tiada perhentian bagi laluan balik kedua-dua pedati itu," katanya.
Soffian berkata selain polis, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Jabatan Perpaduan akan turut memantau pematuhan SOP sepanjang sambutan Thaipusam dan tindakan kompaun akan dikenakan kepada mereka yang didapati jelas ingkar SOP ditetapkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial