PUTRAJAYA, 13 Jan -- Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka mencecah paras purata RM3,800 satu tan pada 2022 berikutan pengeluaran minyak sawit yang bertambah baik, sejajar dengan prestasi minyak sayuran utama lain yang mencatat pemulihan pengeluaran dan stok, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata pengeluaran MSM dijangka meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada 19 juta pada 2022 berbanding 18.12 juta tan pada 2021 manakala stok simpanan diunjur menokok 23.4 peratus kepada 1.95 juta tan daripada 1.58 juta tan pada tahun lepas.
"Kami menjangkakan eksport meningkat 9.3 peratus kepada 17 juta tan pada tahun ini berbanding 15.56 juta tan sebelum ini,” katanya pada sesi pembentangan Seminar Tinjauan dan Prospek Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2022 anjuran MPOB hari ini.
Ahmad Parveez berkata potensi industri minyak sawit Malaysia dijangka bertambah cerah pada 2022 dengan semua petunjuk utama industri disasarkan mencatat prestasi lebih baik.
Bagaimanapun, hasil eksport dijangka susut kepada RM95 bilion berbanding RM106.50 bilion.
Menurutnya, industri tersebut mencatat prestasi bercampur-campur pada 2021 apabila pengeluaran MSM yang lebih perlahan telah menjejaskan kapasiti eksport komoditi itu serta produk berasaskan sawit lain biarpun mendapat permintaan stabil dari negara pengimport.
Malaysia merupakan pengeluar kelima terbesar dunia bagi minyak dan lemak pada 2021 yang mewakili 7.5 peratus daripada jumlah pengeluaran di peringkat global selain menjadi pengeksport kedua terbesar bagi minyak dan lemak.
Eksport minyak sawit Malaysia berjumlah 15.56 juta tan yang merangkumi 16.4 peratus jumlah eksport minyak dan lemak global selain 30.5 peratus daripada perdagangan minyak sawit global.
Di peringkat dunia, eksport minyak sawit pada 2020 adalah 54 peratus dan diikuti minyak kacang soya (14 peratus), minyak biji sesawi (7 peratus), minyak bunga matahari (12 peratus) dan lain-lain 13 peratus.
Lima destinasi utama bagi eksport minyak sawit Malaysia yang berjumlah 8.48 juta tan adalah India, China, Kesatuan Eropah, Turki dan Kenya.
Dalam pada itu, pengeluaran MSM bagi 2021 susut 5.3 peratus kepada 18.12 juta tan berbanding 19.14 juta tan pada 2020 manakala stok penutup meningkat 25.1 peratus kepada 1.58 juta tan.
Bagi tempoh Januari hingga Disember 2021, purata harga MSM melonjak 64.1 peratus ke paras tertinggi dalam sejarah minyak sawit iaitu RM4,407.00 satu tan berbanding RM2,685.50 satu tan bagi tempoh sama 2020.
Dari segi bulanan, purata harga MSM mencecah paras tertingginya pada RM5,341.00 satu tan dalam November 2021 dan mencatat purata harian RM5,429.00 satu tan pada 19 Nov, 2021.
Ini menyumbang kepada peningkatan hasil ketara eksport produk minyak sawit sebanyak 47.7 peratus kepada RM95.76 bilion pada 2021 (Januari-November) berbanding RM64.85 bilion bagi tempoh sama 2020.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial