FOKUS BERNAMA

Semarakkan Kembali Permainan Tradisional Gasing

12/01/2022 02:11 PM

Oleh Soon Li Wei

SEGAMAT (Bernama) -- Bagi yang baru berjinak-jinak dengan permainan gasing, mereka lazimnya akan terkial-kial ketika mengendalikan tali gasing dan mungkin juga bermandi peluh untuk memastikan gasing ligat berpusing untuk tempoh yang lama.

Begitu jugalah pengalaman penulis ketika pertama kali didedahkan dengan permainan gasing pangkah dalam kunjungan ke Felda Kampung Tenang yang terletak kira-kira 14 kilometer dari Labis, salah sebuah mukim dalam daerah, Segamat, Johor.

Untuk bermain gasing memerlukan pemerhatian teliti dan bimbingan daripada yang pakar, selain kesabaran tinggi untuk mencapai kepuasan melihat putaran gasing stabil dan bertahan lama di atas gelanggang.

Penulis adalah salah seorang daripada 17 orang wakil media yang menyertai Program Ekspresi Media: Southern Hidden Gem anjuran Tourism Malaysia dari 23 Nov - 26 Nov 2021.

Ketika penulis dan rakan media yang lain mencuba sedaya upaya menggerakkan gasing di atas gelanggang, muncul seorang lelaki bermisai putih datang menghampiri kami. Di tangannya ada tali benang kait yang penulis dimaklumkan kemudian sepanjang tiga meter dan dua buah gasing pangkah. 

pic-2

"Begini ya anak-anak," lelaki yang bernama Zulkarin Isa dan berumur 52 tahun itu dengan pantas menunjukkan cara mengikat tali benang kait di pergelangan tangan kanannya dan melilitnya berulang kali di lengan sambil memegang gasing. 

Dengan pantas juga, tangan kanannya mengambil gasing pusing berwarna coklat dan melilit bahagian atas gasing (aksi ini dipanggil bahu sepenuhnya), sebelum melemparkan gasing yang berpusing menggunakan konsep lempar dan tarik.

Menurut Zulkarin yang juga seorang juara gasing pangkah, proses mengetatkan tali itu adalah wajib bagi membolehkan gasing ligat berpusing di tengah gelanggang dengan stabil dan lama. 

"Permainan gasing tradisional memerlukan kemahiran. Jika berlaku sedikit kesilapan, ia mungkin mencederakan kaki si pemain," katanya ketika bercakap kepada Bernama. 

Ayah beliau adalah generasi pertama peneroka di Felda Kampung Tenang dan beliau menyambung warisan ayahnya sebelum menukar arah kepada pembuatan gasing.

 

MINAT SEJAK 1997

pic-3

Minat Zulkarin kepada permainan tradisional gasing bercambah sekitar tahun 1970-an apabila melihat generasi pertama peneroka di Felda Kampung Telang mengisi masa lapang mereka dengan bermain gasing.

"Kami pula kemudian turut bermain sekadar suka-suka, namun selepas generasi kedua dalam kalangan kami, tiada lagi meneruskan permainan kerana tiada 'kaki' untuk bermain bersama.

"Pada tahun 1997, saya kembali bermain gasing dan mula mempelajari cara pembuatan gasing dengan memerhatikan tukang pembuat gasing yang ada di kampung, sehinggalah saya kemudiannya mampu  menghasilkan sendiri gasing untuk pameran dan jualan," katanya yang merupakan pemilik syarikat 'Garisan Warisan Melayu'.  

Syarikat ini menghasilkan gasing untuk pasaran dalam negara dan juga eksport, antaranya ke Singapura dan Indonesia.

pic-5

Menurut beliau, antara rahsia untuk memastikan putaran gasing bertahan lama adalah keseimbangan, kelajuan dan kekuatan. 

"Bagi gasing pangkah, peranannya adalah memangkah gasing pusing di bahagian kepala yang selalunya dipasang besi.

"Jika gasing pangkah lebih hebat, gasing pusing akan terpelanting keluar dari bulatan gelanggang dan berhenti berpusing," katanya menambah, rekod pencapaiannya terhadap putaran gasing boleh mencecah sehingga 20 minit kekal di atas gelanggang. 

Tidak hairanlah, ketika kunjungan ke bengkelnya di Felda Kampung Tenang, ruang tamu bengkel berkenaan dihiasi dengan pelbagai sijil dan piala pencapaiannya sepanjang lebih 20 tahun bergelar pemain gasing pangkah. 

Sambil menunjukkan salah satu sijilnya yang diperolehi daripada Malaysian Book of Records (MBOR), Zulkarin berkata pencapaian itu diperolehi sewaktu beliau menyertai Pertandingan Gasing Alam Warisan kerana mencatat rekod 'Longest Non-Stop Gasing Tournament 24 jam'.

Pertandingan berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Alam Warisan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada tahun 2012.

"Permainan gasing menetapkan ukuran tersendiri mengikut standard Asia Tenggara dengan berat gasing tidak melebihi 800 gram, lilitan ukuran keliling 36 hingga 46 cm, ketinggian 12cm dan berpaksi silinder tidak melebihi 0.5 cm," katanya. 

 

 

PEMBUATAN GASING 

pic-4

Pada peringkat awal membuat gasing, Zulkarin menggunakan cara tradisional yang mengambil banyak masa dan tenaga, berbanding dengan zaman sekarang yang mana pembuat gasing menggunakan teknologi mesin daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

"Pada masa itu, saya hanya mampu menghasilkan lima biji gasing dalam sehari. Bentuk serta corak berdasarkan kepada tempahan serta permintaan pelanggan," katanya sambil menambah, beliau juga menghasilkan cenderahati berbentuk gasing. 

Menurut beliau, untuk menghasilkan gasing berkualiti tinggi, kayu yang diperlukan ialah kayu jenis cengal, leban, keranji dan arang bunga, selain bahan injap kereta digunakan untuk membuat paksi gasing. 

"Bagi pembikinan gasing pangkah, ia mempunyai temin di bahagian bawah atau patak yang diperbuat daripada zink tebal, manakala pemberatnya terletak di bahagian labu atau tepi.

pic-6

"Bentuk dan saiz gasing pula dihasilkan mengikut kesesuaian pemain tetapi tidak boleh melebihi ukur lilit 45.72  sentimeter, ketinggiannya 7.62 sentimeter hingga 12.7 sentimeter. Ukuran ini adalah standard yang diselaraskan ketika pertandingan bertaraf antarabangsa," katanya. 

Zulkarin, yang mampu menghasilkan sebuah gasing dalam masa kira-kira dua jam (menggunakan cara tradisional) berkata, beliau menggunakan kaedah memotong kayu secara membujur, bukan melintang, untuk menjadikan gasing tahan lasak apabila dilemparkan. 

"Keseimbangan gasing juga dititikberatkan dengan penambahan timah di bahagian patak, sebelum ia dilarik semula menggunakan mesin bagi meratakan permukaannya.

"Timah berfungsi sebagai pemberat dan pengawal keseimbangan gasing pangkah, kemudiannya bahagian tepi gasing akan dimasukkan dawai, habuk kayu, sapuan gam dan kemudiannya dilarik semula," katanya. 

 

PUPUK MINAT GENERASI MUDA BERMAIN GASING

pic-7

Perkembangan teknologi yang semakin canggih dengan wujudnya gajet dalam talian tidak dinafikan sedikit sebanyak menyebabkan permainan tradisional termasuk gasing yang suatu masa dahulu dekat di hati masyarakat, semakin dilupakan. 

Namun bagi Zulkarin, sebagai sebahagian daripada anggota Persekutuan Gasing Malaysia (PEGAMA), beliau cuba untuk mengekalkan tradisi permainan tradisional itu dalam kalangan generasi mudanya di Felda Kampung Tenang. 

"Ramai yang menggelarkan saya sebagai 'Pak Cik Gasing', 'Zul Gasing Kampung Tenang'. Saya cuba untuk mewariskan permainan ini dengan mengajak anak muda di kampung bermain gasing dengan saya," katanya. 

Sering turun padang untuk menyertai pelbagai pertandingan dan pameran anjuran PEGAMA, Zulkarin kagum dengan generasi muda di negeri lain seperti di Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor yang masih lagi mengekalkan tradisi permainan gasing.

"Sebenarnya ramai anak muda aktif bermain gasing dan kerap berkumpul untuk menyertai pertandingan PEGAMA di seluruh negara. 

"Walaupun kini kebanyakan anak muda sudah terjebak dengan permainan dalam talian, saya masih berharap agar warisan permainan tradisional ini dapat dikekalkan sampai bila-bila," katanya. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan