KUALA LUMPUR, 10 Jan -- Keserasian antara Chan Peng Soon dan Valeree Siow ternyata semakin menjadi meskipun tidak sampai sebulan digandingkan sebagai beregu campuran baharu negara.
Peng Soon berkata beliau gembira kombinasi dengan pasangan baharunya itu bertambah baik lebih-lebih lagi menjelang penampilan sulung mereka di Terbuka India, bermula esok (11 Jan) hingga Ahad ini (16 Jan).
“Setakat ini saya dan Valeree menjalani sesi latihan dengan baik sebelum bermulanya Terbuka India. Saya agak gembira melihat persembahan beliau sekarang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, pemain berusia 33 tahun itu mengakui tidak meletakkan sebarang sasaran dalam kejohanan tersebut kerana tidak mahu memberi tekanan kepada Valeree, yang baru berusia 19 tahun.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu sebaliknya berharap mereka dapat menghasilkan keputusan yang baik dalam kejohanan yang akan berlangsung di Dewan Tertutup K.D Jadhav di New Delhi.
Peng Soon-Valeree yang diletakkan sebagai pilihan kelima dalam kejohanan itu, akan membuka gelanggang dengan menentang pasangan bukan pilihan dari India, Raju Mohamed Rehan-Anees Kowsar Jamaludeen.
Pada 10 Dis lepas, Valeree dipilih sebagai pasangan baharu Peng Soon selepas pemain berpengalaman itu mengumumkan berpisah dengan Goh Liu Ying, selepas 13 tahun bergandingan dengan pencapaian tertinggi merangkul pingat perak di temasya Olimpik Rio 2016.
Sementara itu, pemain perseorangan muda yang sedang meningkat naik, Ng Tze Yong menyifatkan Terbuka India sebagai kejohanan terbesar beliau setakat ini dan menyasarkan untuk sekurang-kurangnya sampai ke peringkat suku akhir.
Perjalanan yang sukar menanti pemain ranking ke-60 dunia itu memandangkan beliau akan bakal berdepan pilihan ketujuh dari Indonesia, Tommy Sugiarto, pada pusingan pertama.
“Saya berdepan lawan yang kuat tetapi saya akan cuba yang terbaik,” katanya dalam sidang video ringkas kepada media hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial