AM

Tiada aduan masalah terputus bekalan makanan di NS - KPDNHEP

23/12/2021 03:50 PM

SEREMBAN, 23 Dis -- Tiada aduan berkaitan masalah terputus bekalan makanan diterima oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan susulan kejadian banjir melanda negeri ini sejak Sabtu lepas, kata Pengarahnya Ain Arjuna Aziz Zaman.

Beliau berkata secara keseluruhan bekalan barang keperluan adalah mencukupi dan masih mudah diperoleh di mana-mana premis peruncit terpilih (DDR) di negeri ini.

"Status kedudukan bekalan berdasarkan 151 premis DDR di seluruh negeri melibatkan gula dengan jumlah sebanyak 95,188 kilogram (kg), tepung gandum (69,269kg), minyak masak (264,943kg), telur (520,028 biji), beras (517,898kg), roti (5,042 buku) dan 9,541 ekor ayam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah menjalankan pemeriksaan di kawasan terlibat banjir dan kawasan sekitarnya antaranya beberapa kampung dan kawasan di sekitar Rantau, Jelebu, Johol, Linggi, dan Sendayan untuk pemantauan bekalan barangan keperluan.

Jelasnya, hasil pemantauan yang dijalankan mendapati  lima DDR dan tiga stesen minyak terkesan disebabkan banjir iaitu di Linggi, Kuala Klawang dan Mambau.

"Justeru, bekalan barang keperluan boleh didapati di premis atau stesen minyak lain yang berhampiran di kawasan terjejas," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya telah mengedar bantuan berupa kotak makanan kepada mangsa banjir yang terlibat antaranya di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Triang Hilir dan PPS Kampung Jerang pada Selasa lepas.

"Kami akan berusaha untuk menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada mereka ini melalui Foodbank KPDNHEP selain mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak yang ingin turut serta memberikan bantuan kepada mangsa banjir," katanya.

Mengulas mengenai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas, beliau berkata kementerian turut mempertingkatkan pemantauan harga melalui Pegawai Pemantau Harga (PPH) yang menjalankan pemantauan harga barangan keperluan asas di negeri ini.

Beliau turut menasihatkan peniaga di negeri ini supaya mematuhi arahan dan beretika dalam menguruskan perniagaan selain tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah SHMMP.

Katanya pengguna boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang termasuk melalui e-mel di e-aduan@kpdnhep.gov.my dan WhatsApp di talian 019-2794317.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan